Kemunculan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi dalam sebuah parti baharu sedang dipromosikan sebagai permulaan kepada satu gelombang politik yang kononnya mampu membawa perubahan kepada Johor. Naratif tersebut mungkin menarik di atas pentas pelancaran parti, namun rakyat Johor mempunyai hak untuk menilai lebih daripada sekadar slogan, logo dan wajah politik yang sudah lama berada dalam sistem.
Rafizi bukan tokoh politik yang baru diberikan peluang. Beliau pernah menjadi Menteri Ekonomi. Nik Nazmi pula pernah menjadi Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Kedua-duanya pernah berada di dalam kerajaan, pernah berada di meja kabinet dan pernah mempunyai ruang untuk melaksanakan agenda yang diperjuangkan selama ini. Justeru, apabila mereka tampil dengan sebuah parti baharu, rakyat berhak bertanya apakah sebenarnya yang berbeza daripada apa yang pernah ditawarkan sebelum ini.
Lebih menarik, parti yang dipimpin Rafizi dilaporkan bercadang untuk bertanding sekitar 15 kerusi di Johor. Angka tersebut menimbulkan persoalan strategik yang lebih besar. Dengan jumlah kerusi yang terhad, sukar untuk melihat bagaimana parti itu mampu membentuk kerajaan negeri secara bersendirian. Keadaan ini memberi gambaran bahawa sasaran sebenar bukanlah untuk mengambil alih pentadbiran negeri, sebaliknya meletakkan diri sebagai pemain yang boleh menjadi penentu kepada mana-mana gabungan selepas pilihan raya.
Pendekatan sedemikian bukan gambaran sebuah gerakan besar untuk mengubah Johor. Sebaliknya ia lebih menyerupai strategi politik untuk mewujudkan nilai tawar-menawar selepas keputusan pilihan raya diumumkan. Dalam bahasa mudah, bertanding secukupnya untuk kekal relevan, kemudian menunggu peluang untuk diajak bergabung oleh pihak yang memerlukan sokongan.
Jika benar matlamat utama adalah untuk melakukan perubahan besar kepada Johor, mengapa hanya mensasarkan sebahagian kecil kerusi? Jika benar mereka mempunyai formula yang lebih baik untuk negeri ini, mengapa strategi yang dipilih tidak menunjukkan keyakinan untuk menawarkan pentadbiran alternatif yang lengkap kepada rakyat?
Inilah persoalan yang mula bermain dalam fikiran ramai pemerhati politik.
Rakyat juga tidak boleh melupakan bahawa naratif yang dibawa oleh Rafizi hari ini bukanlah sesuatu yang baharu. Reformasi, perubahan sistem, politik baharu dan tatakelola baik merupakan tema yang telah menjadi sebahagian daripada identiti politik beliau selama lebih dua dekad. Slogan yang sama pernah membawa beliau ke dalam kerajaan. Slogan yang sama pernah digunakan ketika memegang jawatan menteri. Slogan yang sama juga menjadi asas kepada kempen politik yang akhirnya memberikan kuasa kepada Pakatan Harapan.
Malangnya, apabila peluang tersebut diberikan, banyak janji reformasi yang dilaungkan tidak diterjemahkan menjadi pencapaian yang benar-benar mengubah landskap pentadbiran negara. Akhirnya, Rafizi meninggalkan kabinet manakala Nik Nazmi juga meletakkan jawatan daripada kerajaan dan mengikuti Rafizi. Situasi tersebut menjadikan rakyat lebih berhati-hati apabila mendengar janji yang sama dibungkus dengan jenama politik yang baharu.
Fakta yang tidak boleh diubah adalah, Rafizi tinggalkan PKR-PH hanya kerana gagal pertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden. Nik Nazmi lagi memalukan kerana kalah dengan artis pelawak yang begitu baru dalam dunia politik.
Penyokong mereka mungkin berhujah bahawa kegagalan lalu berpunca daripada kekangan dalam kerajaan atau faktor kepimpinan yang lain. Hujah itu sebenarnya hanya alasan. Bukankah mereka sebahagian daripada kerajaan tersebut? Bukankah mereka mempunyai akses kepada kuasa yang membolehkan dasar dilaksanakan? Bukankah mereka berada dalam kedudukan yang membolehkan mereka memperjuangkan idea yang kini dibawa semula kepada rakyat?
Johor bukan makmal untuk menguji semula formula yang pernah diberi peluang tetapi gagal membuktikan keberkesanannya. Pengundi Johor terkenal dengan sikap pragmatik. Mereka tidak mudah terpesona dengan slogan. Mereka melihat kepada hasil. Mereka menilai rekod. Mereka mengukur kemampuan berdasarkan pencapaian yang boleh dibuktikan.
Pada akhirnya, cabaran terbesar parti baharu Rafizi bukanlah soal mendapatkan perhatian media atau membina struktur organisasi. Cabaran sebenar ialah meyakinkan rakyat bahawa mereka mempunyai sesuatu yang benar-benar berbeza daripada apa yang pernah ditawarkan sebelum ini.
Johor tidak kekurangan parti politik.
Johor tidak kekurangan slogan reformasi.
Johor tidak kekurangan janji perubahan.
Apa yang masih belum ditunjukkan ialah bukti bahawa formula yang sama mampu menghasilkan keputusan yang berbeza.
Jika sasaran sebenar hanyalah untuk memenangi beberapa kerusi dan menunggu peluang untuk menyertai mana-mana gabungan yang memerlukan sokongan, rakyat sebenarnya sedang menuju ke dalam perangkap Rafizi.
Yang pasti, Johor berada di kedudukan yang terbaik antara negeri di dalam Malaysia dalam semua sektor di bawah pimpinan Barisan Nasional.
