Mesyuarat Majlis Raja-Raja Tertangguh Akibat 'Politik Berpihak'?

Melaka Digest
By -
0

Penangguhan Mesyuarat Majlis Raja-Raja bukan perkara biasa dalam sistem Raja Berperlembagaan Malaysia. Kali terakhir keadaan seperti ini berlaku ketika negara berdepan pandemik Covid-19. Sebab itu apabila mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 25 Jun ditangguhkan secara mengejut, ramai pemerhati melihatnya sebagai petunjuk bahawa kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan telah mencapai tahap yang jauh lebih serius daripada yang cuba digambarkan sebelum ini.


Laporan media antarabangsa menyebut antara faktor utama penangguhan tersebut ialah pertikaian berkaitan kedudukan pemerintah Negeri Sembilan yang masih belum menemui penyelesaian. Apa yang bermula sebagai isu adat dan perlembagaan negeri kini memberi kesan kepada institusi Raja-Raja Melayu di peringkat nasional.

Apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja sendiri terkesan, isu ini tidak lagi boleh dilihat sebagai pertikaian politik negeri semata-mata. Implikasinya kini menyentuh salah satu institusi paling penting dalam sistem Raja Berperlembagaan negara.

Di sinilah letaknya kelemahan ketara oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. Beliau gagal dari awal menjadi pendamai.

Jika kemelut ini pada asalnya melibatkan tafsiran adat dan perlembagaan, mengapa ia berkembang sehingga memberi kesan kepada institusi di peringkat nasional?

Apa yang sepatutnya ditangani dengan penuh kebijaksanaan melalui saluran adat dan perlembagaan akhirnya berkembang menjadi konflik politik yang lebih besar apabila kerajaan negeri memilih pendirian yang dilihat memihak dalam pertikaian yang sedang berlangsung.

Ramai melihat inilah titik perubahan yang mengubah sebuah pertikaian negeri menjadi isu yang lebih luas.

Seorang Menteri Besar sepatutnya memainkan peranan sebagai pendamai ketika berdepan situasi yang melibatkan institusi penting negeri. Keutamaan beliau ialah meredakan ketegangan, bukannya mewujudkan persepsi bahawa kerajaan negeri telah memilih satu pihak dalam konflik yang sedang berlaku.

Keadaan tersebut akhirnya membawa kepada tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin.

Sejak awal lagi UMNO dituduh menjadi punca ketidakstabilan politik. UMNO dituduh mencetuskan krisis dan menggugat kerajaan negeri. Apa yang kurang diberi perhatian ialah sebab sebenar di sebalik keputusan tersebut.

UMNO Negeri Sembilan berada dalam kedudukan yang sukar. Jika terus menyokong Aminuddin, parti itu berisiko dilihat terpalit dengan pendirian yang dianggap memihak dalam pertikaian melibatkan institusi diraja. Jika menarik sokongan, UMNO pula dipersalahkan atas segala yang berlaku.

Dalam konteks itu, penarikan sokongan boleh juga dilihat sebagai usaha untuk memastikan parti tidak terheret ke dalam konflik yang semakin sensitif serta melibatkan institusi yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Apa yang berlaku selepas itu tidak menunjukkan keadaan semakin reda kerana Aminuddin masih bersikap memihak yang keterlaluan.
 
Akhinya, Dewan Undangan Negeri dibubarkan, pilihan raya negeri diumumkan dan ketidakpastian mengenai hala tuju penyelesaian krisis terus menjadi perbincangan.

Perkembangan ini turut menimbulkan persoalan terhadap kepimpinan Kerajaan Persekutuan.

Aminuddin Harun ialah Menteri Besar daripada parti yang sama dengan Perdana Menteri. Anthony Loke dari DAP pula dilihat tiba-tiba menjadi 'penasihat' kepada Aminuddin di Negeri Sembilan?

Jika Aminuddin tidak berjaya meredakan keadaan, di manakah peranan Kerajaan Persekutuan dalam mengurus krisis tersebut?

Jika pendekatan yang disokong oleh kerajaan berjaya, mengapa ketidakpastian masih berlarutan?

Jika langkah yang diambil benar-benar mengembalikan kestabilan, mengapa Mesyuarat Majlis Raja-Raja pula yang terpaksa ditangguhkan?

Penangguhan itu sendiri memberi gambaran bahawa isu ini dipandang serius oleh institusi Raja-Raja Melayu. 

Jika penarikan sokongan UMNO adalah punca utama krisis, mengapa selepas UMNO dipersalahkan pertikaian masih belum menemui jalan penyelesaian?

Mengapa pilihan raya negeri terus dibayangi ketidakpastian?

Mengapa isu yang bermula di Negeri Sembilan kini mendapat perhatian media antarabangsa?

Apa yang berlaku hari ini menunjukkan bahawa kemelut telah menjadi ujian terhadap kebijaksanaan politik, keupayaan mengurus konflik serta kemampuan kepimpinan negeri dan Persekutuan dalam memelihara keharmonian institusi yang menjadi asas kepada sistem Raja Berperlembagaan negara.

Satu perkara semakin jelas. Ini bukan lagi krisis Negeri Sembilan semata-mata.

Apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja turut terkesan, isu ini telah berkembang menjadi persoalan yang menyentuh institusi tertinggi negara. 

Jika semua langkah yang diambil selama ini bertujuan meredakan keadaan, mengapa kemelut tersebut akhirnya berkembang sehingga memberi kesan kepada institusi yang selama ini berada di luar gelanggang politik?

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)