PAS Tidak Berani Bertanding Solo Di Melaka

Melaka Digest
By -
0


Cadangan supaya PAS dan Bersatu bergerak secara berasingan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuka satu persoalan sebenar sama ada PAS benar-benar memiliki kekuatan politik yang sering didakwa selama ini atau sekadar bergantung kepada gabungan politik untuk mengekalkan pengaruhnya.

Cabaran tersebut dikemukakan Ketua Penerangan PKR Melaka, Eddiarman Mohd Yunos ketika pimpinan PAS sering mendakwa memiliki jentera akar umbi yang besar, keahlian yang ramai serta sokongan rakyat yang kukuh, PRN Melaka kini dilihat sebagai medan paling sesuai untuk membuktikan dakwaan tersebut secara praktikal, bukan sekadar melalui ceramah atau media sosial. 

Cabaran ini datang berikutan cadangan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari supaya PAS dan Bersatu bergerak secara berasingan sebenarnya telah mengubah fokus naratif politik semasa. Isunya bukan lagi mengenai hubungan PAS-Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), sebaliknya beralih kepada persoalan siapakah yang benar-benar mempunyai kekuatan akar umbi yang mampu diterjemahkan kepada kemenangan pilihan raya.

Sekiranya PAS yakin bahawa parti itu memiliki pengaruh yang luas dalam kalangan pengundi Melayu, pertandingan secara solo akan menjadi peluang terbaik untuk membuktikan bahawa kekuatan tersebut bukan bergantung kepada jenama PN atau sokongan parti-parti lain.

Kerusi Tradisi DAP Menjadi Ujian Paling Kritikal

Cabaran supaya PAS bertanding di kerusi tradisi DAP bukanlah satu cadangan yang bersifat simbolik semata-mata. Ia merupakan ujian paling realistik terhadap kemampuan sebenar PAS untuk menembusi kawasan yang mempunyai komposisi pengundi lebih pelbagai serta landskap politik yang berbeza daripada kubu tradisi mereka.

Kemenangan di kawasan sebegitu akan memberikan legitimasi kepada dakwaan bahawa PAS mampu berkembang sebagai parti nasional. Kegagalan pula bakal mengukuhkan persepsi bahawa kekuatan PAS masih terhad kepada segmen pengundi tertentu dan belum mencapai tahap yang sering digambarkan oleh pimpinan parti tersebut.

Rakyat berhak mengetahui sama ada PAS benar-benar bercita-cita untuk menerajui Putrajaya atau sekadar selesa memainkan peranan sebagai pengkritik kerajaan dalam mana-mana gabungan politik. Persoalan tersebut menjadi semakin relevan apabila beberapa kenyataan pimpinan PAS sebelum ini memberi gambaran bahawa menjadi ketua pembangkang tidak semestinya membawa aspirasi untuk memimpin kerajaan Persekutuan.

Sebuah parti yang bercita-cita memimpin negara seharusnya tampil dengan pelan yang jelas, tokoh kepimpinan yang diyakini serta visi pentadbiran yang mampu meyakinkan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.

PRN Melaka mungkin menjadi pentas yang akhirnya menjawab satu persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya dalam politik negara, adakah PAS benar-benar kuat bersendirian, atau kekuatan itu hanya wujud apabila berteduh di bawah payung gabungan politik?

 


 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)