Terbaharu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh, menerusi hantaran di Facebook memuat naik poster yang membawa mesej yang tidak lagi membuka ruang kepada pelbagai tafsiran.
"RASMI PRN JOHOR: Di DUN PAS tidak bertanding, undi BN."
Hantaran ringkas itu bukan berdiri bersendirian. Sebaliknya, ia melengkapkan rangkaian kenyataan pemimpin tertinggi PAS yang sejak awal lagi menggesa ahli dan penyokong memberikan sokongan kepada BN di kawasan yang tidak ditandingi PN.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan mengarahkan ahli dan penyokong PAS supaya mengundi calon UMNO-Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Kenyataan tersebut kemudiannya diperjelaskan lagi oleh Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Menurut beliau, sekiranya tiada calon PN bertanding, pengundi perlu memilih BN sebagai pilihan yang dianggap "lebih kecil mudaratnya", dengan matlamat utama menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PH).
Apabila kenyataan Tuan Ibrahim, penjelasan Muhammad Sanusi dan hantaran Facebook Nik Mohamad Abduh dibaca secara keseluruhan, mesej yang disampaikan menjadi semakin jelas. Ia bukan lagi sekadar tafsiran terhadap sebuah poster, sebaliknya membentuk pendirian yang konsisten daripada kepimpinan PAS sendiri.
Malah, poster yang pada awalnya dianggap sekadar bahan kempen media sosial kini memperoleh pengesahan politik apabila kandungannya selari dengan kenyataan rasmi beberapa pemimpin kanan parti.
Perkembangan ini turut memperlihatkan bahawa strategi PAS di kerusi tertentu bukan semata-mata bertujuan memenangkan PN tetapi memberi keutamaan kepada usaha menghalang kemenangan PH apabila gabungan itu tidak meletakkan calon.
Lebih penting, ia menjelaskan kepada penyokong di peringkat akar umbi tentang hala tuju undi yang dikehendaki parti bagi kerusi-kerusi yang tidak mempunyai calon PN.
Bukan satu, bukan dua, tetapi tiga pengesahan daripada kepimpinan PAS kini membawa mesej yang sama jika tiada calon PN atau PAS bertanding, undi hendaklah diberikan kepada BN.
Dengan perkembangan ini, naratif bahawa arahan tersebut hanyalah spekulasi media sosial tidak lagi mempunyai asas yang kukuh. Sebaliknya, ia telah diperkukuhkan melalui kenyataan rasmi Timbalan Presiden PAS, penjelasan Pengarah Pilihan Raya PN serta hantaran terbuka Nik Mohamad Abduh sendiri.
PRN Johor kini bukan sahaja menjadi medan persaingan antara parti politik, malah turut menjadi pentas yang memperlihatkan strategi kerjasama taktikal bagi mengelakkan perpecahan undi. Berdasarkan kenyataan para pemimpin PAS sendiri, pendirian itu kini dinyatakan secara terbuka, di kerusi yang tidak ditandingi PN, undi diberikan kepada BN.

