Anthony Loke kini memikul sekurang-kurangnya empat tanggungjawab politik yang besar. Beliau ialah Menteri Pengangkutan, pemimpin utama DAP, Ahli Parlimen Seremban dan pada masa yang sama mahu terus mempertahankan kedudukannya sebagai ADUN Chennah.
Setiap satu jawatan tersebut bukan tugas sambilan. Setiap satunya menuntut masa, tenaga, perhatian dan komitmen yang serius.
Sebagai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bertanggungjawab terhadap isu pengangkutan awam, keselamatan jalan raya, perkhidmatan rel, penerbangan, pelabuhan serta pelbagai agensi di bawah kementeriannya.
Masalah kesesakan, kelewatan pengangkutan awam, kemalangan jalan raya, mutu perkhidmatan rel dan kelemahan sistem pengangkutan negara bukan isu kecil yang boleh diselesaikan dalam beberapa jam seminggu.
Sebagai pemimpin utama DAP pula, beliau perlu menguruskan perjalanan sebuah parti nasional, menentukan strategi politik, menyelesaikan masalah dalaman dan menghadapi pilihan raya di seluruh negara.
Sebagai Ahli Parlimen Seremban, beliau mempunyai tanggungjawab terhadap penduduk kawasan Parlimennya, selain perlu menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan melaksanakan tugas sebagai anggota pentadbiran kerajaan.
Kini, beliau membuat keputusan yang dilihat tamak, mahu terus memegang jawatan ADUN Chennah.
Persoalannya, berapa banyak masa yang benar-benar tinggal untuk rakyat Chennah?
Mungkin selepas ini Anthony Loke akan meletakkan lebih ramai pegawai di Chennah untuk menerima aduan, menghadiri program, mengurus pusat khidmat dan mewakilinya dalam pelbagai urusan masyarakat.
Pegawai sememangnya penting bagi membantu seseorang wakil rakyat. Namun pegawai tetap bukan wakil yang dipilih oleh rakyat.
Penduduk Chennah mengundi seorang ADUN, bukan sekumpulan pegawai yang bertugas bagi pihaknya.
Rakyat berhak mempunyai wakil rakyat yang boleh turun ke kampung, mendengar masalah penduduk, memahami denyut nadi masyarakat dan hadir ketika kawasan memerlukan kepimpinan. Bukannya menyediakan pegawai untuk dipinjamkan telinga.
Kawasan Dewan Undangan Negeri bukan sekadar nama yang perlu dipertahankan setiap kali pilihan raya. Ia amanah yang menuntut kehadiran.
Chennah tidak sepatutnya dijadikan kerusi sampingan untuk melengkapkan portfolio politik seseorang pemimpin. Malah bukan saluran untuk tambahkan gaji.
Penduduknya berhak mendapat seorang ADUN yang boleh memberikan lebih banyak masa dan tumpuan. Mereka tidak sepatutnya menerima alasan bahawa wakil rakyat terlalu sibuk dengan urusan kementerian, parti atau Parlimen.
Apabila terlalu banyak jawatan dikumpulkan pada seorang individu, risiko paling besar ialah rakyat di peringkat kawasan akhirnya menerima baki masa yang masih tinggal.
Rakyat Chennah tidak seharusnya dilayan sebagai baki dalam jadual seorang menteri.
Mereka memerlukan seorang wakil rakyat yang menjadikan Chennah sebagai keutamaan, bukan sekadar salah satu daripada banyak tanggungjawab politik yang perlu diuruskan.
Mungkin rakyat Chennah boleh membantu Anthony Loke.
Ringankan sedikit bebannya.
Biarkan beliau menumpukan sepenuh perhatian kepada Kementerian Pengangkutan. Berikan ruang kepadanya untuk menyelesaikan masalah pengangkutan awam negara. Benarkan beliau menguruskan DAP dan menjaga kawasan Parlimen Seremban dengan lebih baik.
Tidak perlu semua jawatan mahu dipikul oleh seorang manusia.
Sekiranya Anthony Loke benar-benar diperlukan untuk menguruskan kementerian, parti dan Parlimen, maka Chennah sewajarnya diberikan kepada seorang calon lain yang mempunyai lebih banyak masa untuk rakyat dari awal. Keberadaan Anthony Loke mewakili DUN bukannya sebagai calon Mentri Besar. Jadi untuk apa?
Atas dasar belas kasihan, mungkin rakyat Chennah tidak perlu menambah satu lagi beban di bahu Anthony Loke.
Biarkan beliau berehat daripada tugas sebagai ADUN.
Kesian pada Anthony Loke. Lebih penting, jangan sampai rakyat Chennah pula yang perlu dikasihani.
