PH Yakin Isu Najib, Rosmah Berjaya Tawan Pengundi Johor

Melaka Digest
By -
0

Menjelang Pilihan Raya Negeri Johor yang berbaki dua hari lagi, corak kempen Pakatan Harapan semakin jelas. Pakatan Harapan tidak lagi menumpukan mengenai masa depan Johor, isu rakyat semakin diketepikan, sebaliknya pentas politik dipenuhi dengan naratif lama yang kembali mengangkat nama Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai tema utama kempen.


Mengapa isu yang berlaku bertahun-tahun lalu kembali dijadikan fokus ketika rakyat Johor sedang menunggu penyelesaian terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pelaburan dan pembangunan negeri.

Pemerhati politik melihat keadaan ini sebagai petunjuk bahawa PH sedang mengalihkan perhatian daripada kelemahan tawaran mereka sendiri.

Apabila manifesto mereka gagal mencetuskan keyakinan atau tidak mendapat sambutan seperti diharapkan sehinggakan rakyat Johor sendiri melihat ianya sebagai manifesto “copy paste” maka strategi paling mudah ialah mengembalikan naratif yang mampu membangkitkan emosi penyokong. Pakatan Harapan menggunakan strategi bangkitkan kebencian rakyat Johor melalui isu Najib Razak dan Rosmah.

Susunan serangan politik juga menunjukkan mesej yang diselaraskan. Pemimpin-pemimpin kanan DAP seperti Nga Kor Ming, Gobind Singh Deo dan Anthony Loke dilihat membawa tema yang hampir sama, iaitu mengaitkan UMNO dengan pembelaan terhadap Najib, mengulang isu 1MDB sebagai beban negara.

Naratif ini akhirnya membawa kepada satu mesej utama iaitu mengundi Pakatan Harapan kononnya bersamaan dengan menolak rasuah. Sedangkan rakyat Malaysia sedang melihat bagaimana orang terpaling kanan Anwar sendiri terpaksa dipecat kerana terpalit dengan skandal rasuah. Shamsul Iskandar Mohd Akin, bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, gagal untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah dihadapinya daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan bersetuju menerima RM100,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing, 37, sebagai dorongan untuk membantu syarikat Tei mendapatkan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun perkara itu tidak berkaitan dengan tugas rasminya.

Beliau juga berdepan satu lagi pertuduhan menerima wang tunai RM40,000 daripada individu sama bagi tujuan sama, selain dua pertuduhan menerima rasuah kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai masing-masing RM14,580.03 dan RM22,249.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya; di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin di sini dan di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024, serta antara 24 November 2023 hingga 5 Mac 2024.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pakatan Harapan melalui DAP jelas cuba mengalihkan perhatian rakyat Johor.

Pilihan raya negeri bukan referendum terhadap seorang individu. Ia adalah medan untuk memilih kerajaan negeri yang mampu mentadbir dengan berkesan, merancang pembangunan, menarik pelaburan, meningkatkan ekonomi tempatan dan menyediakan peluang kepada rakyat. Pengundi Johor mengundi untuk menentukan hala tuju negeri mereka, bukannya sekadar mengulangi perdebatan politik nasional.

Menggunakan isu Najib dan Rosmah sebagai tema utama kempen juga berisiko menunjukkan bahawa PH lebih selesa memainkan sentimen berbanding menawarkan penyelesaian yang konkrit. Jika manifesto benar-benar diyakini mampu menarik sokongan rakyat, sepatutnya kempen memberi tumpuan kepada dasar, sasaran dan pelan pelaksanaan, bukannya bergantung kepada isu yang telah lama menjadi bahan perdebatan umum.

Lebih menarik, serangan terhadap UMNO dilihat cuba membentuk persepsi bahawa seluruh parti perlu dinilai berdasarkan kes melibatkan individu tertentu. Pendekatan sebegini mengabaikan hakikat bahawa pilihan raya negeri melibatkan calon-calon tempatan yang akan dipertanggungjawabkan terhadap pentadbiran Johor untuk lima tahun akan datang.

Rakyat Johor hari ini juga semakin matang dalam membuat penilaian politik. Mereka mampu membezakan antara kempen berasaskan emosi dengan tawaran yang mempunyai pelan pelaksanaan yang jelas. Pengundi bukan sekadar mahu mendengar siapa yang paling lantang menyerang lawan, tetapi mahu mengetahui siapa yang benar-benar mempunyai keupayaan mentadbir negeri.

Akhirnya, pilihan raya ini bukan mengenai siapa paling banyak menyebut nama Najib atau Rosmah di pentas ceramah. Pilihan raya ini adalah mengenai masa depan Johor.

Jika kempen PH terus bergantung kepada naratif lama untuk menutup kelemahan tawaran baharu, adakah Pakatan Harapan benar-benar menawarkan penyelesaian untuk Johor, atau sekadar berharap isu Najib dan Rosmah masih cukup kuat untuk mempengaruhi keputusan pengundi?

"DAP juga sebenarnya ingin tutup cerita Lim Guan Eng naik-turun mahkamah dengan kes rasuah meganya.." kata pemerhati politik Johor.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)