Melaka: Rekod baharu tercipta pada sambutan Hari Landskap Negara 2026 di sini, hari ini apabila 26 tan kayu pallet terpakai ditukar menjadi 361 unit perabot dalam tempoh sehari diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR).
Inisiatif itu anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang membabitkan 300 sukarelawan terdiri daripada pemain industri, pusat latihan serta peserta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang perkayuan dari seluruh negara.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Syahrul Nizam Saleh berkata, program itu pertama kali dianjurkan yang menyasarkan penggunaan kayu pallet terpakai untuk diubah suai menjadi perabot, antaranya kerusi dan meja.
Katanya, kayu berkenaan pula dikumpul daripada kilang sekitar negeri ini sebelum diproses menjadi perabot.
"Idea tercetus selepas melihat lambakan kayu pallet yang tidak lagi digunakan oleh kilang-kilang dan kebiasaannya dibuang sebagai bahan sisa.
"Daripada dibuang, kita fikir lebih baik sisa ini dimanfaatkan menjadi sesuatu yang bernilai dan sebab itu kita menghasilkan perabot yang bukan sahaja boleh digunakan, malah mempunyai nilai komersial.
"Kita berharap langkah ini dapat menggalakkan lebih ramai pemain industri supaya tidak lagi membuang pallet terpakai, sebaliknya memanfaatkannya melalui pengusaha perabot atau institusi latihan kemahiran untuk menghasilkan produk bernilai," katanya.
Beliau ditemui pada Hari Landskap Negara 2026 yang berlangsung di pekarangan Stadium Hang Jebat serta turut dihadiri Pengarah SWCorp Melaka, Nor Zaki Md Nor.
Mengulas lanjut, Shahrul Nizam berkata, amalan mengitar semula sisa kayu menjadi produk terpakai turut memperkukuh amalan ekonomi kitaran serta menyokong aspirasi pembangunan mampan negara menerusi pembudayaan penggunaan dan pengeluaran lebih bertanggungjawab.
"Program 'upcycling' ini juga merupakan antara fokus utama SWCorp Growth 2.0 bagi membuktikan sisa bukan lagi penamat, sebaliknya permulaan kepada penciptaan nilai baharu.
"Ini juga merupakan cubaan rekod MBOR ketiga oleh SWCorp selepas kejayaan terdahulu membabitkan pengumpulan 56 tan fabrik dan 27,000 kilogram minyak masak terpakai sempena Hari Kitar Semula Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, semua perabot yang terhasil akan dilelong kepada orang ramai bagi menyokong usaha kelestarian alam sekitar dan menghargai hasil kerja peserta.
Sumber.
