Dr Muhammad Solehin Saleh membawa cabaran Bersama di Bemban, manakala adiknya, Dr Akmal, kekal sebagai ADUN Merlimau. Mereka tidak bertembung di kerusi yang sama tetapi pencalonan dua beradik dalam dua parti kini membuka gelanggang perang persepsi yang jauh lebih besar.
Dalam politik, dua beradik tidak perlu bertanding di kerusi yang sama untuk dijadikan seteru. Kadangkala, persamaan nama, hubungan darah dan kedudukan dalam lingkungan politik yang sama sudah cukup untuk mencetuskan pertarungan naratif. Itulah yang berlaku apabila Dr Muhammad Solehin Saleh diumumkan sebagai calon Parti Bersama Malaysia bagi DUN Bemban. Beliau bukan calon biasa kerana merupakan abang kandung kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga ADUN Merlimau.
Fakta paling penting perlu diperjelaskan sejak awal ialah Dr Solehin tidak bertanding menentang Dr Akmal. Bemban dan Merlimau ialah dua kerusi berbeza, malah nama kedua-duanya tidak akan muncul pada kertas undi yang sama. Oleh itu, gambaran bahawa PRN Melaka bakal menyaksikan pertembungan langsung “abang lawan adik” bukan sahaja salah, malah boleh mengelirukan. Namun, mengatakan pencalonan Dr Solehin langsung tidak membawa kesan politik kepada adiknya juga merupakan kesimpulan yang terlalu mudah.
Bemban bukan Merlimau tetapi kedua-duanya berada dalam kawasan Parlimen Jasin. Kedudukan geografi politik itu menjadikan pencalonan Dr Solehin lebih menarik. Walaupun tidak mencabar adiknya secara langsung, beliau kini cuba membina pengaruh dalam lingkungan politik yang sama dengan Dr Akmal. Keputusan PRN Melaka 2021 pula menunjukkan profil kedua-dua kerusi itu sangat berbeza dengan Bemban dimenangi calon Bersatu–Perikatan Nasional, Dr Mohd Yadzil Yaakub pada PRN Melaka 2021 dengan majoriti tipis 328 undi. Beliau kemudiannya berstatus Bebas selepas dipecat daripada Bersatu pada Februari 2026., manakala Dr Akmal memenangi Merlimau dengan majoriti 3,248 undi.
Angka tersebut memberikan penjelasan yang lebih rasional mengapa Bemban menjadi sasaran Bersama. Ia sebuah kerusi marginal, terbuka dan berpotensi menyaksikan persaingan sengit. Dari sudut strategi pilihan raya, Bemban mempunyai nilai tersendiri walaupun tanpa kaitan kekeluargaan dengan Dr Akmal. Bagaimanapun, politik bukan sekadar pertarungan angka dan peta kawasan. Politik juga merupakan perebutan kuasa untuk menentukan siapa yang berjaya menguasai cerita.
Dalam lautan calon baharu, pengenalan sebagai “abang Dr Akmal” memberikan Dr Solehin sesuatu yang sukar dibeli oleh sebuah parti baharu: perhatian segera. Orang ramai mungkin belum mengenali latar politiknya, tetapi mereka sudah mengenali nama adiknya. Hubungan kekeluargaan itu membuka pintu, mengundang liputan media dan memberikan Bersama titik pengenalan yang pantas. Namun, nama Akmal tidak boleh menjadi keseluruhan identiti politik Dr Solehin.
Dr Solehin pernah aktif dalam Amanah sebelum menyertai Bersama. Bagaimanapun, sebab beliau meninggalkan Amanah tidak dapat dipastikan berdasarkan maklumat awam yang tersedia. Kekosongan penjelasan itu menimbulkan persoalan sama ada perpindahan tersebut lahir daripada perbezaan prinsip, percaturan pilihan raya atau sekadar pencarian wadah politik baharu. Selagi tiada penjelasan langsung daripadanya, sebarang kesimpulan mengenainya kekal sebagai andaian.
Menurut satu bacaan politik, formula yang dikaitkan dengan Rafizi akhirnya bukan untuk memenangkan seorang daripada dua beradik itu tetapi berpotensi melemahkan kedua-duanya. Persepsi boleh dibentuk supaya pengundi di Bemban dan Merlimau melihat pencalonan mereka sebagai peluasan pengaruh sebuah keluarga, lalu menolak kedua-duanya atas alasan politik sedang digunakan untuk kepentingan diri.
Dalam tafsiran paling keras, Dr Solehin bukan dipersiapkan untuk menjadi pewaris kepada pengaruh Dr Akmal, sebaliknya berisiko dijadikan korban politik bagi menguburkan jenama adiknya.
Dr Solehin mendapat perhatian melalui nama Akmal tetapi perhatian sama boleh menimbulkan rasa curiga terhadap kedua-duanya. Strategi itu, jika benar, mempunyai kesan dua mata, seorang digunakan untuk membuka gelanggang, manakala seorang lagi dijadikan sasaran utama perang persepsi.
Formula Rafizi tidak memerlukan Dr Solehin menyerang Dr Akmal di Merlimau. Cukup dengan meletakkan seorang lagi anggota keluarga Akmal di bawah bendera berbeza, membina pengaruh di kawasan berhampiran dan memecahkan gambaran bahawa keluarga itu hanya mempunyai satu jalur politik. Dalam konteks ini, istilah “membunuh” tidak membawa maksud literal atau serangan fizikal. Ia merujuk kepada percaturan untuk mematikan pengaruh politik, melemahkan penguasaan naratif dan menghakis kekuatan jenama Dr Akmal.
Dr Akmal selama ini tampil dengan identiti politik yang lantang, jelas dan mudah dikenali. Kemunculan abangnya melalui Bersama memberikan khalayak satu perbandingan baharu: dua beradik, dua gaya kepimpinan dan dua pilihan politik. Sekalipun mereka tidak bertembung di peti undi, perbandingan tetap akan berlaku. Setiap kenyataan Dr Solehin berpotensi dibaca dalam konteks Dr Akmal, manakala setiap reaksi Dr Akmal pula boleh ditafsirkan melalui pencalonan abangnya.
Pencalonan dua beradik melalui parti berlainan turut membawa risiko komunikasi yang tidak boleh dipandang ringan. Apabila dua anggota keluarga sama-sama memasuki pilihan raya, walaupun di kawasan berbeza, sebahagian masyarakat boleh membuat kesimpulan bahawa politik sedang digunakan untuk kepentingan diri atau peluasan pengaruh keluarga. Persepsi itu tidak semestinya benar kerana Dr Solehin dan Dr Akmal tidak bertanding sesama sendiri, membawa parti berbeza dan perlu berhadapan dengan kelompok pengundi yang berbeza. Namun, politik sering menghukum berdasarkan gambaran awal sebelum sempat menilai penjelasan.
Jika kempen Dr Solehin terlalu bergantung pada identiti sebagai “abang Dr Akmal”, ia boleh menguatkan tanggapan bahawa hubungan darah sedang dijadikan modal politik. Nama Akmal mungkin memberikan perhatian pantas tetapi perhatian itu merupakan pedang bermata dua. Ia boleh membantu Dr Solehin dikenali tetapi pada masa sama menghalangnya daripada berdiri sebagai calon yang mempunyai kekuatan dan identiti sendiri.
Adakah ini sebahagian daripada formula Rafizi untuk melemahkan pengaruh Dr Akmal? Dalam politik, kesan kadangkala menjadi lebih besar daripada niat. Dr Solehin tidak berdepan adiknya di peti undi tetapi berdepan sesuatu yang lebih sukar dikalahkan iaitu bayang-bayang nama Dr Akmal, tuduhan politik keluarga dan persepsi bahawa pencalonannya merupakan sebahagian daripada percaturan yang lebih besar.
Di Bemban, pertarungan sebenar bukan abang melawan adik. Ia adalah pertarungan antara identiti, strategi dan persepsi.
