Fitnah, adu domba yang dicetuskan di media sosial beberapa hari ini memperlihatkan bagaimana sesuatu isu boleh diputar belit tanpa semakan fakta, semata-mata untuk membina persepsi buruk terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka.
Sebuah akaun palsu menggunakan nama “teta_sayang meow” cuba mengaitkan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, serta Kerajaan Negeri Melaka dengan persembahan hiburan yang didakwa berlaku dalam program Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi.
Naratif itu kemudiannya diperluaskan dengan mengheret nama UMNO, “menteri UMNO” dan pasukan tentera, seolah-olah semua pihak tersebut terlibat secara langsung dalam penganjuran persembahan berkenaan.
Masalahnya, mereka yang membuat tuduhan tersebut kelihatan tidak terlebih dahulu menyemak jadual rasmi Ketua Menteri Melaka.
Program Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi bukanlah program anjuran Kerajaan Negeri Melaka. Dasar dan program berkaitan Jabatan Insolvensi Malaysia berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri. Oleh itu, cubaan untuk meletakkan keseluruhan tanggungjawab penganjuran kepada Ketua Menteri atau Kerajaan Negeri Melaka merupakan satu tindakan yang mengelirukan.
Lebih penting, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh tidak berada di lokasi persembahan hiburan berkenaan pada malam tersebut.
Pada waktu yang sama, beliau berada di Kem Terendak bagi menyempurnakan Majlis Penutup Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Kejohanan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026.
Beliau hadir bersama warga Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan badan beruniform dalam sebuah program rasmi yang berasingan. Justeru, cubaan untuk mengaitkan persembahan artis di kawasan Mydin Melaka dengan program Ketua Menteri di Kem Terendak bukan sahaja tidak tepat, malah mencampuradukkan dua acara yang berlainan lokasi, penganjur dan pengisian.
Persembahan artis tersebut pula berlangsung pada waktu malam di kawasan komersial yang terbuka kepada orang ramai. Ia bukannya diadakan di hadapan tetamu rasmi dalam program Ketua Menteri dan bukan juga berlangsung di dalam Kem Terendak seperti gambaran yang cuba dibentuk oleh pemilik akaun terbabit.
Persoalannya, bagaimana sebuah persembahan di kawasan Mydin boleh diputar sehingga seolah-olah berlangsung dalam program rasmi Ketua Menteri bersama tentera?
Adakah penyebar naratif tersebut benar-benar tersilap, ataupun sengaja menggabungkan dua program berbeza untuk mencipta gambaran palsu?
Jika aksi tarian penyanyi jemputan dianggap buruk dan memalukan, ukuran yang sama sewajarnya digunakan secara konsisten. Jangan pula aksi tarian di pentas politik yang melibatkan Perdana Menteri bersama penghibur yang meniru watak legenda filem Tamil dianggap sebagai hiburan biasa, sedangkan persembahan artis dalam program terbuka terus dijadikan modal untuk menyerang UMNO dan Ketua Menteri Melaka.
Aksi tersebut bukan berlaku sekali. Rakaman Perdana Menteri menari bersama penghibur berkenaan, termasuk menggunakan cemeti sebagai sebahagian daripada persembahan, pernah berlangsung dalam beberapa program dan kempen politik di hadapan orang ramai.
Namun, pasukan propaganda yang sama tidak pula menunjukkan kemarahan yang setara.
Inilah masalah apabila sesuatu isu tidak lagi dinilai berdasarkan fakta, sebaliknya dipilih mengikut kepentingan politik. Jika dilakukan oleh pihak sendiri, ia diraikan sebagai hiburan dan kemesraan bersama rakyat. Jika berlaku dalam program yang boleh dikaitkan walaupun secara longgar dengan lawan politik, ia segera dilabel sebagai skandal dan penghinaan.
Lebih membimbangkan apabila imej pasukan tentera turut diseret ke dalam serangan tersebut. Institusi pertahanan negara tidak seharusnya dijadikan bahan untuk melengkapkan propaganda politik murahan.
Warga tentera yang hadir dalam program sukan di Kem Terendak tidak mempunyai kaitan dengan persembahan artis di Mydin. Menggabungkan kedua-duanya hanya kerana berlangsung pada hari yang sama merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan salah faham terhadap institusi Angkatan Tentera Malaysia.
Mereka yang mahu mengkritik kerajaan bebas berbuat demikian. Namun kritikan mestilah berasaskan fakta, masa, lokasi dan bidang kuasa yang tepat.
Jangan kerana terlalu ghairah mengejar kandungan politik, jadual rasmi Ketua Menteri tidak disemak, lokasi acara dicampuradukkan, penganjur program disalah namakan dan tentera pula dijadikan mangsa.
Sebelum menuduh Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atau Kerajaan Negeri Melaka, semak dahulu jadual rasmi beliau.
Jangan jadikan akaun palsu sebagai lesen untuk menyebarkan cerita palsu. Jangan pula menjadikan kebencian politik sebagai alasan untuk mempermainkan nama UMNO, kerajaan negeri dan pasukan keselamatan negara.
Fitnah mungkin mudah dicipta. Tetapi fakta tetap mempunyai masa, lokasi dan rekodnya sendiri.
