Op Sakau: Sarawak Hentian Seterusnya?

Melaka Digest
By -
0



Belum pun Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan, PKR dan DAP sudah menghidupkan enjin pilihan raya. PKR mengarahkan jentera, organisasi akar umbi dan gerak kerja komunikasinya diperkukuh, manakala DAP menyasarkan antara lapan hingga 10 kerusi serta mula memperkenalkan barisan calon baharu. Persiapannya bukan lagi secara diam-diam. PH mahu memperluas pengaruhnya di Bumi Kenyalang setelah gagal di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.


Setiap parti mempunyai hak demokratik untuk bertanding. PH juga berhak membawa manifesto, mengemukakan calon dan meyakinkan rakyat melalui rekod pentadbirannya. Kebimbangan tercetus apabila langkah politik itu dilihat bergerak seiring dengan bayang-bayang tekanan, ancaman dan tindakan agensi penguat kuasa.

Pada 31 Januari 2026, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki, menyenaraikan Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sebagai lima “lombong emas” SPRM. tinggi.

Lebih menarik, hanya lima bulan sebelumnya, pada Ogos 2025, Azam menyatakan tahap kes rasuah di Sarawak “tidak membimbangkan”. Beliau turut memuji kerajaan Sarawak kerana menunjukkan iltizam politik yang kuat, menyokong usaha meningkatkan integriti dan membenarkan penyiasatan dijalankan tanpa campur tangan.

Namun segalanya nampak mula jelas. Dalam tempoh lima bulan, Sarawak berubah daripada negeri yang tahap rasuahnya dikatakan tidak membimbangkan kepada sebuah “lombong emas” yang memerlukan campur tangan strategik.

Dan apabila tularnya cerita bahawa Sarawak adalah ‘Next-Stop’ bagi SPRM, rakyat sudah mula nampak bahawa Pakatan Harapan hanya mampu menjadikan isu sakau sebagai talian hayat politik mereka.

“Op Sakau” bukan nama operasi rasmi SPRM, sebaliknya gambaran terhadap kebimbangan bahawa agenda memerangi rasuah boleh dipentaskan sebagai operasi politik menjelang pilihan raya. Siasatan tidak boleh dijadikan trailer pilihan raya. Gari bukan manifesto. Baju oren bukan dasar. Kebocoran maklumat pula bukan bukti seseorang telah bersalah.

Tiada sesiapa harus dilindungi jika terdapat bukti salah laku. Pemimpin kerajaan, pembangkang, penjawat awam atau ahli perniagaan wajib disiasat tanpa takut dan tanpa pilih kasih. Prinsip yang sama menuntut agar agensi penguat kuasa tidak digunakan untuk menghukum seseorang melalui persepsi sebelum mahkamah menentukan kebenaran.

Masa sesuatu tindakan sememangnya bukan bukti mutlak campur tangan politik. Namun masa, pemilihan sasaran, layanan berbeza dan cara sesuatu siasatan dipertontonkan tetap mempengaruhi keyakinan masyarakat.

Sebab itulah Transparency International Malaysia menegaskan bahawa SPRM bukan sahaja perlu bebas, malah mesti dilihat sebagai bebas. Badan Peguam Malaysia juga terus mendesak reformasi struktur yang dapat melindungi SPRM daripada persepsi pengaruh eksekutif.

Kerajaan perlu menjawab melalui tindakan. Adakah tokoh yang dekat dengan kerajaan disiasat dengan ketegasan dan kepantasan sama?

Adakah kebocoran terpilih akan dihentikan?

Adakah individu yang tidak didakwa akan dibersihkan namanya?

Adakah semua kes akan dibawa ke mahkamah berasaskan bukti, bukannya dibicarakan terlebih dahulu melalui mahkamah media dan mahkamah rakyat?

PH tiba di gelanggang Sarawak selepas menerima tiga amaran pilihan raya berturut-turut. Di Sabah, PH hanya memenangi satu daripada 20 kerusi yang ditandinginya. Itu pun calon pun terpaksa pinjam dari parti lain. Di Johor, PH meraih lapan daripada 56 kerusi. Di Negeri Sembilan, PH kehilangan kerajaan negeri selepas memenangi hanya 11 daripada 36 kerusi.

Rakyat di tiga negeri tersebut telah menunjukkan bahawa jenama reformasi sahaja tidak mencukupi untuk menutup kelemahan pentadbiran, kegagalan menunaikan janji dan kemerosotan keyakinan. Kekalahan politik tidak boleh ditebus dengan mencipta ketakutan. Kekurangan sokongan pula tidak boleh digantikan dengan tekanan institusi.

Sarawak bukan menolak usaha memerangi rasuah. Sarawak mempunyai hak untuk menolak rasuah dijadikan teater politik. Negeri itu juga berhak mempertahankan MA63, autonomi, hasil minyak dan gas serta kuasa menentukan haluan sendiri tanpa dibayangi tekanan dari Putrajaya.

Jika PKR dan DAP datang membawa dasar, biarlah dasar mereka dinilai. Jika bayang-bayang agensi penguat kuasa tiba lebih dahulu daripada tawaran kepada rakyat, tanggapan bahawa “Op Sakau” sudah menjadikan Sarawak hentian seterusnya akan menjadi semakin sukar dinafikan.

Demokrasi tidak boleh hidup di bawah ugutan. Keadilan tidak boleh dijadikan senjata pilihan raya. Sarawak kini berdepan pilihan sama ada mahu mempertahankan hak menentukan masa depannya sendiri atau membiarkan ketakutan menentukan arah politik negeri.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)