RM28.13 Juta Dibelanjakan MIMOS Tanpa Kelulusan Jawatankuasa, Menteri Mana Perlu Direman?

Melaka Digest
By -
0



KUALA LUMPUR, 23 September 2026 — Dapatan Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 mengenai Projek MyDigital ID bukan perkara kecil yang boleh ditutup dengan alasan berlaku kekeliruan dalam struktur pentadbiran.


Audit merekodkan RM28.13 juta telah dibelanjakan tanpa kelulusan jawatankuasa yang ditetapkan, ketika struktur tadbir urus projek sendiri didapati tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya. Daripada jumlah tersebut, RM4.08 juta membabitkan 11 subskop yang dibelanjakan tanpa atau melebihi penyaluran peruntukan, manakala satu subskop mencatat lebihan kos RM70,000.

Audit turut mendapati RM14.09 juta melibatkan kos sumber, emolumen, kemudahan perubatan kakitangan dan kelengkapan pejabat dibayar menggunakan dana pembangunan. Menurut laporan itu, penggunaan tersebut tidak selaras dengan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan RMK12 yang mengehadkan penggunaan dana pembangunan bagi perbelanjaan operasi tertentu. Audit turut membangkitkan pembelian security cage dan door access tanpa kelulusan proses kajian nilai yang ditetapkan.

Ini bukan tuduhan politik. Ini dapatan institusi audit negara. Oleh sebab itu, persoalan sebenar tidak seharusnya berhenti pada siapa pegawai yang menyediakan baucar, siapa yang membuat pindahan wang atau syarikat mana yang melaksanakan kerja teknikal. Persoalan lebih besar ialah siapa mempunyai kuasa penyeliaan ketika keputusan dibuat, siapa sepatutnya memastikan kawalan kewangan berfungsi dan siapa perlu menjelaskan bagaimana puluhan juta ringgit boleh dibelanjakan sebelum kelulusan yang ditetapkan diperoleh.

Rekod menunjukkan MIMOS merupakan agensi pelaksana MyDigital ID, manakala projek pada peringkat awal berada di bawah penyeliaan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara. Peruntukan pembangunan RM80 juta disalurkan kepada MIMOS sebelum dana itu dipindahkan kepada MyDigital ID Sdn Bhd pada 20 Februari 2024. Selepas itu, struktur penyeliaan berubah apabila Majlis Keselamatan Negara mengambil peranan sebagai penyelia projek.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang kemudian menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa antara faktor kelemahan tadbir urus ialah kekeliruan yang timbul selepas perubahan struktur jawatankuasa. Menurut beliau, perbelanjaan berkaitan pernah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal, manakala kerajaan menegaskan tiada ketirisan dalam proses tadbir urus atau perolehan. Beliau turut menyatakan perbelanjaan termasuk emolumen dan perolehan aset kemudiannya dibentangkan dan disahkan dalam mesyuarat jawatankuasa pada 2024.

Penjelasan itu perlu direkodkan secara adil. Namun terdapat perbezaan yang besar antara sesuatu perbelanjaan yang diambil maklum atau disahkan kemudian dengan sesuatu perbelanjaan yang mendapat kelulusan terlebih dahulu sebagaimana yang ditetapkan. Audit secara jelas menggunakan frasa bahawa RM28.13 juta telah dibelanjakan tanpa kelulusan jawatankuasa berkenaan. Justeru, persoalannya bukan sama ada perbelanjaan tersebut akhirnya diketahui oleh jawatankuasa tetapi sama ada kawalan yang diwajibkan berfungsi pada masa wang itu dibelanjakan.

Di sinilah kes Tabung Haji memberikan satu ‘precedent’ pentadbiran yang penting. Pada 7 Disember 2018, Jemaah Menteri meluluskan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji yang melibatkan pemindahan aset kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd, sebuah syarikat tujuan khas milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan. Rekod rasmi menunjukkan nilai pindahan aset berjumlah RM19.9 bilion, manakala UJSB menerbitkan Sukuk Murabahah berjumlah RM19.6 bilion dan menyediakan RM300 juta secara tunai sebagai pertukaran kepada aset tersebut.

Perkara penting daripada kes Tabung Haji bukan sekadar angka, yang lebih penting ialah prinsip akauntabilitinya.

Apabila transaksi kerajaan dilaksanakan melalui sebuah SPV, persoalan terhadap kerajaan tidak berhenti pada nama syarikat tersebut. Keputusan Jemaah Menteri, struktur transaksi, obligasi kewangan, nilai aset dan tindakan kementerian terus menjadi bahan penelitian serta pertanyaan di Parlimen. Malah, rekod Parlimen beberapa tahun selepas transaksi itu masih memperlihatkan perbahasan mengenai UJSB, sukuk dan kedudukan aset Tabung Haji.

Inilah ‘precedent’ yang perlu digunakan secara konsisten terhadap MyDigital ID. Precedent ini bukan bermaksud seseorang menteri secara automatik melakukan kesalahan jenayah apabila audit menemui kelemahan. Liabiliti jenayah memerlukan bukti terhadap perbuatan, pengetahuan, niat serta elemen undang-undang yang berkaitan. Namun akauntabiliti pentadbiran membawa prinsip yang berbeza. Apabila projek berada di bawah portfolio, struktur atau autoriti kerajaan, pihak yang mempunyai kuasa pada tempoh berkenaan perlu menjelaskan bagaimana keputusan dibuat dan bagaimana kawalan dilaksanakan.

Seorang menteri tidak perlu menjadi individu yang mengisi borang pembayaran atau menandatangani setiap baucar sebelum persoalan akauntabiliti boleh diajukan. Pegawai melaksanakan tugas, agensi mengurus projek dan syarikat tujuan khas menjalankan operasi tetapi kuasa penyeliaan tetap mempunyai pemilik. Jika kerajaan menerima pengiktirafan apabila sesuatu projek berjaya, tanggungjawab untuk memberikan penjelasan juga tidak boleh hilang apabila Audit menemui kelemahan.

Jika alasan yang diberikan ialah perubahan struktur menyebabkan kekeliruan, maka perubahan struktur itu sendiri perlu diperiksa. Siapa memastikan peralihan daripada satu penyelia kepada penyelia lain tidak mewujudkan kekosongan kawalan? Siapa memastikan jawatankuasa yang mempunyai kuasa memberikan kelulusan pada waktu yang sepatutnya? Siapa memastikan RM80 juta wang pembangunan digunakan mengikut tujuan asalnya? Dan apabila tanggungjawab berpindah daripada KDN serta JPN kepada MKN, siapa mempunyai kuasa pada setiap tarikh perbelanjaan dibuat?

Dalam konteks itu, turut timbul satu persoalan lain yang wajar dijawab secara telus jika dakwaan yang berlegar mahu dibawa ke ruang awam.

Apakah apa yang berlaku di MIMOS mempunyai sebarang kaitan dengan usaha pihak yang digelar “Mr F” untuk mengambil alih atau memperoleh kepentingan dalam projek kad pengenalan?

Rekod awam yang ada ketika ini menunjukkan kerajaan memaklumkan kepada Parlimen bahawa Kontrak Pembekalan Kad Pengenalan MyKad, MyTentera dan MyPOCA Struktur Baharu telah dianugerahkan kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd, dengan keputusan itu dikatakan selaras dengan kelulusan Kementerian Kewangan dan kriteria perolehan kerajaan. Pelaksanaan MyKad struktur baharu pula bermula secara berfasa pada 2026.

Namun kerajaan juga tidak seharusnya membiarkan persoalan seperti itu berkembang dalam ruang spekulasi. Jika tiada hubungan antara MIMOS, keputusan MyDigital ID dan mana-mana pihak yang dikaitkan dengan projek kad pengenalan, nyatakan secara jelas dan kemukakan rekod yang boleh menjawabnya. Jika terdapat hubungan komersial atau pentadbiran yang relevan, jelaskan sifat hubungan tersebut. Ketelusan adalah cara paling berkesan untuk membezakan antara fakta dengan tuduhan.

Di sinilah precedent Tabung Haji menjadi penting sekali lagi. UJSB tidak pernah menjadi dinding yang menghalang kerajaan daripada dipersoalkan mengenai keputusan yang dibuat di bawah pelan penstrukturan tersebut. Dengan ukuran yang sama, nama MIMOS, MyDigital ID Sdn Bhd atau perubahan kepada struktur MKN tidak seharusnya menjadi titik akhir kepada persoalan mengenai siapa bertanggungjawab terhadap keputusan pada setiap peringkat.

Tidak perlu menentukan lebih awal siapa bersalah. Tidak perlu menukar dapatan Audit menjadi sabitan jenayah. Apa yang diperlukan ialah rantaian akauntabiliti yang lengkap berdasarkan tarikh, dokumen, kuasa dan keputusan.

Jika keputusan berkaitan Tabung Haji boleh diperiksa sehingga kepada Jemaah Menteri, kementerian, SPV, sukuk dan dokumen transaksi, MyDigital ID juga wajar dinilai dengan standard yang sama. Agensi boleh berubah, jawatankuasa boleh berubah, menteri boleh berubah dan kerajaan juga boleh berubah. Namun tanggungjawab terhadap wang rakyat tidak sepatutnya berubah mengikut siapa yang sedang memegang kuasa.

Persoalannya ialah siapa mempunyai kuasa ketika keputusan dibuat, siapa sepatutnya mengawal perbelanjaan itu, dan siapa sekarang perlu memberikan jawapan kepada Parlimen serta rakyat.

Menteri?

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)