MIC Masjid Tanah balas jasa Tok Rauf

Melaka Digest
By -
0

 

R.SUGUMAR

MASJID TANAH : Lebih 3,000 ahli MIC Masjid Tanah akan memberi undi kepada semua calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kawasan Parlimen Masjid Tanah P.134.

Ini janji yang diberi oleh Ketua MIC Masjid Tanah merangkap Ketua Penerangan MIC Negeri Melaka, R. Sugumar,52.

Ketika ditemui Mynewshub di Bilik Gerakan BN DUN Lendu dekat sini, beliau memberikan janji itu kerana mahu membalas jasa Ketua Menteri Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh yang juga calon BN bagi kerusi DUN N.02 Tanjung Bidara.

Menurutnya, jasa Ab Rauf terhadap kebajikan masyarakat India di lima DUN dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah sangat besar.

“Kita (MIC) memang bekerja dengan Tok Rauf. Dia seorang yang orang panggil CM (Ketua Menteri) tetapi bagi saya, dia macam ayahanda kita. Sebab, dia sentiasa menjaga kebajikan masyarakat India di Masjid Tanah,” katanya kepada Maynewshub.

Kawasan Parlimen Masjid Tanah P.134 meliputi DUN N.01 Kuala Linggi, N.02 Tanjung Bidara, N.03 Ayer Limau, N.04 Lendu dan N.05 Taboh Naning.

R. Sugumar berkata, Ab Rauf juga seorang yang sentiasa prihatin terhadap pembangunan pendidikan kaum India terutama membantu pelajar India melangkah masuk ke universiti.

“Bantuan kemasukan ke universiti sentiasa ada untuk pelajar kami,” tambahnya.

Mengulas lanjut apa lagi yang Ab Rauf bantu, katanya, setiap kali banjir melanda kawasan kediaman penduduk India, pasti ada bantuan tiba seperti kit makanan.

“Tahun lalu, sebanyak 46 keluarga India mengalami kesusahan akibat banjir. Masa itu, Tok Rauf sendiri turun padang menghulurkan bantuan dengan mengagihkan kit makanan,” katanya.

Malah katanya, lebih daripada itu yang diterima penduduk apabila Ab. Rauf mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah banjir dengan meluluskan projek Tembok Tebatan Banjir di Taman Masjid Tanah Ria bernilai RM450,000 dan telahpun siap dibina pada 12 Oktober lalu.

“Tahun lalu sepanjang 700 meter tembok dibina di sungai yang mengalir di kawasan penduduk. Tahun ini, sepanjang 700 meter lagi dibina dan telah pun siap,” katanya.

Beliau berkata, sejak adanya projek tembok tebatan banjir itu, masalah banjir tidak lagi berlaku di kawasan perumahan tersebut.

Mengulas apa langkah MIC untuk membantu jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, R.Sugumar berkata, selepas penamaan calon, pihaknya telah berbincang dengan Ab Rauf mengenai strategi dan fokus kempen.

“Saya boleh jamin sebanyak 95 peratus ahli MIC akan menyokong calon-calon BN pada PRN tahun ini. Baki lima peratus adalah mereka yang ikut parti lain selepas dihasut pihak tertentu atau tidak puas hati terhadap kepimpinan parti kerana tidak dapat apa yang mereka mahu.

“Biasalah ada segelintir yang tidak puas hati tetapi ia tidak menjejaskan jentera MIC membantu calon BN.

Menurutnya, sejak Ab Rauf mengambil alih Melaka sebagai ketua menteri dan wakil rakyat Tanjung Bidara, sesuatu yang ajaib berlaku.

Katanya, banyak ahli MIC pulang ke pangkuan parti itu kerana Ab Rauf sentiasa mengambil berat kebajikan masyarakat India.

“Daripada tak sokong, terus sokong. Salah satu sebab kenapa mereka kembali adalah kerana Tok Rauf mudah ditemui di rumah tanpa perlu membuat temujanji. Kadang kala sampai pukul 2 pagi, Tok Rauf sentiasa melayan tetamu dengan baik," ujarnya.

Menjawab soalan mengenai apa yang MIC buat untuk menyakinkan masyarakat India supaya terus beri sokongan padu kepada Ab Rauf, katanya :

“Itulah, kita ada seorang pemimpin yang bagus. Kita nak pandang lain buat apa,”.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)