Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Salleh tampil memberi penjelasan tegas terhadap tohmahan yang sering dilemparkan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO kononnya gagal memajukan Sabah sepanjang 60 tahun pemerintahan.
Dalam sesi podcast “Sekali Ketuk”, Dr Akmal menegaskan bahawa dakwaan itu hanyalah retorik politik murahan yang dimainkan oleh pihak yang mahu menutup kelemahan sendiri.
“Orang kata BN memerintah 60 tahun, Sabah tak maju. Cuba kita tanya semula bagaimana keadaan Kota Kinabalu 60 tahun lalu, dan bagaimana sekarang? Adakah tiada kemajuan langsung? Cuba lihat jalan raya, bangunan, lapangan terbang, universiti, hospital semua itu hasil usaha siapa?”.
Menurut beliau, fakta pembangunan tidak boleh dinafikan. Di bawah pentadbiran BN, infrastruktur asas Sabah dibina secara berperingkat walaupun berdepan cabaran geografi dan kewangan. BN bukan sempurna, katanya, tetapi ia telah meninggalkan asas pembangunan sebenar yang kini dinikmati rakyat.
“UMNO tidak perfect. Tapi jangan kerana kita mahu main politik, kita padam terus jasa orang lama.
UMNO telah dihukum, ramai pemimpin yang dulunya bersorak di atas pentas UMNO telah meninggalkan parti dan menuduh parti sendiri, kononnya untuk membawa pembaharuan. Namun akhirnya, rakyat semakin sedar bahawa “parti baharu” hanya menjual mimpi lama dengan wajah baru.
Yang penting, pemimpin UMNO yang ada hari ini lahir dari akar umbi, mereka yang kekal kerana setia kepada perjuangan, bukan kerana jawatan
“Cukup-cukuplah bermain naratif kononnya Sabah miskin sebab BN. Kalau 60 tahun dulu tiada jalan, sekolah atau hospital, mungkin betul. Tapi hari ini, asas itu wujud. Soalnya, siapa yang merancang dan membinanya?”
Kenyataan Dr Akmal ini sekaligus menjadi tamparan balas kepada naratif politik anti-UMNO, terutama daripada parti-parti serpihan yang sering menjadikan isu “60 tahun BN” sebagai modal retorik tanpa melihat hakikat sebenar pembangunan dan pengorbanan generasi terdahulu.
“UMNO tidak sempurna, tetapi ia tidak pernah berhenti berjuang. Dan perjuangan itu kini diteruskan oleh generasi baru yang tidak malu untuk berkata benar, dan tidak takut untuk membetulkan kesilapan lalu.”
