Isu jenayah rogol bukan ruang untuk berpolitik murahan namun malangnya, itulah yang dilakukan oleh ADUN Sungai Udang, Dr. Aleef Mohd Yusof, apabila beliau menuding jari kepada Exco Pendidikan negeri, Datuk Rahmad Mariman, seolah-olah seorang Exco mampu berjaga di setiap bilik darjah di seluruh Melaka.
Tragedi hitam di Alor Gajah di mana seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 trauma seumur hidup selepas dipercayai dirogol dan dirakam oleh beberapa pelajar senior di dalam kelas sepatutnya menjadi detik keinsafan nasional tentang krisis moral dalam kalangan pelajar. Namun, Dr Aleef memilih jalan politik sempit. Beliau mencari kambing hitam dan bukan penyelesaian.
Apakah beliau lupa bahawa sekolah mempunyai pentadbiran sendiri, pengetua, guru disiplin, kaunselor dan pengawas? Atau bagi beliau, tugas Exco ialah menjaga kunci kelas dan memeriksa telefon bimbit pelajar satu per satu?
Kenyataan beliau menunjukkan bukan sekadar keangkuhan politik, tetapi juga kedangkalan dalam memahami struktur pendidikan dan tanggungjawab institusi. Menyalahkan Exco atas jenayah pelajar sama seperti menyalahkan Menteri Kesihatan apabila pesakit enggan makan ubat.
Kalau Dr Aleef benar-benar prihatin, beliau sepatutnya mencadangkan solusi dan bukannya menggunakan tragedi seorang pelajar sebagai modal untuk menyerang lawan politik. ADUN ini dangkal dan tidak bertanggungjawab.
Rakyat tidak perlukan ahli politik yang pandai bercakap selepas sesuatu terjadi.
Rakyat perlukan pemimpin yang berfikir sebelum bercakap, dan bertindak sebelum tragedi berlaku.
Dr Aleef barangkali lupa bahawa politik yang tidak berakar pada nilai kemanusiaan akhirnya hanya tinggal cakap kosong dalam dewan, dan sinis di mata rakyat.
