Alor Gajah, 11 Oktober – Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga dari sebuah sekolah menengah di sini dilaporkan mengalami trauma yang serius selepas dipercayai menjadi mangsa serangan seksual oleh dua pelajar lelaki senior dalam satu kejadian mengejutkan yang berlaku minggu lalu.
Insiden berkenaan dikatakan berlaku di sebuah bilik darjah kosong di tingkat tiga bangunan sekolah kira-kira jam 2.50 petang pada 2 Oktober. Lebih memburukkan keadaan, perbuatan keji itu turut dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua pelajar lain yang berada di tempat kejadian.
Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas rakaman video insiden tersebut tersebar dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan, sebelum ia dimaklumkan kepada guru dan akhirnya sampai ke pengetahuan ibu mangsa pada petang Jumaat.
Difahamkan, mangsa yang berusia 15 tahun ketika itu dikatakan telah kembali semula ke kelasnya untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal, sebelum terserempak dengan dua pelajar lelaki Tingkatan Lima berusia 17 tahun yang dipercayai sedang menghendapnya dari luar kelas.
“Apabila menyedari kehadiran mereka, mangsa cuba melarikan diri namun ditahan oleh salah seorang suspek yang menarik tangan mangsa, menutup mulutnya dan menolaknya masuk semula ke dalam kelas,” kata sumber.
Suspek kedua dilaporkan bertindak mengawal kawasan berhampiran tangga untuk mengelakkan kehadiran orang luar, manakala dua lagi pelajar lain turut berada dalam kelas berkenaan dan dikatakan hanya menjadi pemerhati.
Mangsa kemudiannya didakwa telah diserang secara seksual oleh kedua-dua suspek secara bergilir-gilir, manakala aksi keji itu dirakam tanpa kerelaan mangsa. Akibat kejadian tersebut, pelajar perempuan itu kini mengalami tekanan emosi yang mendalam dan enggan hadir ke sekolah.
