DUYONG, 17 Oktober – Jalan Hang Tuah berpotensi besar untuk dibangunkan semula sebagai pusat tarikan pelancongan berasaskan sejarah dan ekonomi, sekaligus memperkukuh identiti warisan bandar bersejarah Melaka.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan, berkata bahawa perancangan pembangunan ini bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan fizikal lokasi, tetapi turut menekankan aspek ekonomi yang berteraskan nilai sejarah dan budaya setempat.
“Jalan Hang Tuah pernah menjadi lokasi penting dalam sejarah negeri, termasuk kewujudan stesen kereta api Melaka pada suatu ketika dahulu. Justeru, kita melihat keperluan untuk membangunkan semula laluan ini sebagai sebuah pusat tarikan sejarah yang mempunyai nilai ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Hang Tuah yang berlangsung di Auditorium Hang Tuah Centre, Perkampungan Hang Tuah, semalam.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP), Prof Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah; Pengurus Besar Institut Seni Warisan Melaka (INSWA), Drs. Mohd Nasaruddin Rahman; serta Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr. Muhammad Salleh.
Zaidi turut memaklumkan bahawa satu kajian dasar yang menyeluruh akan dijalankan sebagai langkah awal bagi memastikan pelaksanaan pembangunan ini menepati nilai sejarah dan warisan sebenar laluan tersebut.
“Sudah tentu usaha ini akan melibatkan penyelidik dan pengkaji sejarah bagi mengenal pasti laluan serta kawasan yang mempunyai nilai warisan untuk diteliti dengan lebih mendalam,” tambahnya.
Inisiatif ini diharap dapat menyemarakkan semula Jalan Hang Tuah sebagai satu simbol penting sejarah negeri, selain menjadikannya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan melalui sektor pelancongan dan kebudayaan.
