PAS Melaka memilih jalan selamat meniru langkah Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan enggan menamakan calon Ketua Menteri bagi PRN Melaka akan datang.
Keputusan ini kononnya dibuat atas dasar “menghormati” pendirian Presiden, namun di sebalik tirai politik negeri Hang Tuah itu, khabar angin berlegar kuat bahawa PAS Melaka sebenarnya masih bergelut mencari sosok yang benar-benar layak untuk diangkat sebagai calon nombor satu negeri itu.
Nama Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga ahli parlimen Jasin, Haji Zainal, disebut antara tokoh kanan parti, tetapi ramai pemimpin sendiri berpendapat beliau tidak cukup pengalaman untuk memimpin sebuah kerajaan negeri. Latar belakangnya sebagai pengurus sekolah pondok milik keluarganya jauh daripada tuntutan kepimpinan moden yang menuntut pengalaman dalam urus tadbir ekonomi, pelaburan serta hubungan antara negeri dan antarabangsa.
Wujud pula bisikan dalaman bahawa PAS mungkin memberi laluan kepada PPBM menonjolkan calon utama Perikatan Nasional (PN) di Melaka iaitu ‘Ali Pasir’, tokoh perniagaan berwibawa yang memiliki imej korporat serta disenangi kepimpinan PN pusat.
Langkah PAS Melaka yang enggan menamakan calon ini sekali gus menimbulkan persoalan adakah ia tanda “taat setia” kepada arahan pusat, atau petanda bahawa PAS sebenarnya tidak bersedia mengemudi Melaka?
Dalam politik, kadangkala diam itu bukan tanda tenang, tetapi tanda belum cukup kuat untuk bersuara.
Sikap PAS Melaka yang bersembunyi di balik alasan “menghormati presiden” sebenarnya menggambarkan realiti getir parti itu belum cukup yakin untuk bertanding di negeri yang struktur politiknya berteraskan pragmatisme, bukan dogma. Ketiadaan tokoh tempatan yang menonjol menjadikan PAS sekadar pelengkap kepada PN, bukan peneraju.
Jika benar PPBM bakal menjadi wajah hadapan PN Melaka, PAS berdepan risiko menjadi pelakon sampingan dalam pentas sendiri, bertepuk, bertakbir tapi bukan yang dijulang.
