PRN Sabah 17: Tawaran Untuk Anak Muda – Dr. Akmal

Melaka Digest
By -
0

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Salleh menegaskan bahawa apa yang dinikmati oleh rakyat di Semenanjung, rakyat Sabah juga berhak menikmatinya. Menurut beliau, sudah tiba masanya Sabah tidak lagi menjadi negeri yang ketinggalan hanya kerana kelemahan pengurusan dan ketidaktelusan dalam tadbir urus negeri. 
 
 
“Jalan Pan Borneo adalah bukti nyata kegagalan mengurus. Bajet sudah diberi, peruntukan sudah disalurkan, tapi kenapa Sarawak boleh siap dan Sabah tidak?” soal Dr. Akmal.

Beliau menjelaskan bahawa isu ini bukan soal peruntukan semata-mata, tetapi soal kecekapan dan amanah pemimpin yang diberi tanggungjawab.
“Kalau di Melaka, ada lopak air besar pun wakil rakyat boleh ‘dihumban ke dalam tong sampah’. Kalau ada lubang kecil pun saya akan pastikan ia dibaiki dalam masa tiga hari,” ujarnya.

Menurut Dr. Akmal, rakyat Sabah harus menilai semula prestasi pemimpin mereka. Jika pemimpin gagal melaksanakan tanggungjawab, rakyat tidak boleh terus berdiam diri.
 
“Kalau pemimpin tidak jalankan tanggungjawab, maka kena tukar. Kita tak boleh bagi lesen untuk gagal,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan UMNO bukan sekadar untuk berkuasa, tetapi memastikan keadilan dan kesamarataan pembangunan untuk seluruh rakyat Malaysia – termasuk Sabah yang selama ini sering dipinggirkan oleh kerajaan negeri yang tidak cekap.

Dalam nada optimis, Dr. Akmal menyeru anak muda Sabah untuk menjadi sebahagian daripada perubahan.
 
“Tawaran kita kepada anak muda Sabah jelas, peluang pekerjaan, pembangunan setara dan suara mereka akan didengar. UMNO bukan datang menjanjikan bulan bintang, tapi membawa tekad untuk memastikan Sabah mendapat apa yang sepatutnya mereka nikmati.”

Dengan mesej lantang dan bersifat membina, Dr. Akmal membuktikan bahawa suara Pemuda bukan hanya berslogan, tetapi menuntut keadilan dan akauntabiliti supaya masa depan Sabah kembali cerah seperti yang dijanjikan dalam cita-cita Malaysia yang sebenar.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)