Penyokong PAS Melaka Desak Muhyiddin Panggil Balik Menantu

Melaka Digest
By -
0


Ketegangan dalaman semakin terasa dalam kem Perikatan Nasional (PN) apabila penyokong PAS di Melaka kini secara terbuka mendesak agar Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memanggil pulang menantunya, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang kini hidup mewah di luar negara untuk segera menghadapi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
Menurut sumber dalaman PAS Melaka, desakan itu muncul selepas laporan media mendedahkan gaya hidup mewah menantu Muhyiddin yang dipercayai sedang bersembunyi di negara Asia Barat sejak lebih dua tahun lalu.

“PAS perlu bersikap tegas dan berprinsip. Jika skandal yang melibatkan Ismail Sabri boleh ditangani secara terbuka, takkan skandal yang membabitkan menantu Muhyiddin tidak boleh diselesaikan dengan cara yang sama?” kata sumber berkenaan.

 

Tambahnya lagi, penyokong akar umbi PAS melihat isu ini boleh menjejaskan imej gabungan PN yang selama ini mendakwa diri mereka bersih, bebas rasuah, dan memperjuangkan politik berprinsip.

 

“PAS tak boleh terpalit dengan skandal mega. Ini bukan isu kecil. Rakyat sedang memerhati. Kita bukan boleh kata ini semua fitnah dan terus diam. Kalau benar tak bersalah, pulang dan buktikan,” tegas sumber itu lagi.

 

Difahamkan, sebahagian ahli PAS Melaka turut mendesak agar Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Zulkifli, membawa perkara ini ke mesyuarat kepimpinan pusat sebagai tanda pendirian tegas PAS terhadap isu integriti dan amanah.

 

Sumber turut menambah, ramai ahli di peringkat cawangan kini mempersoalkan mengapa kepimpinan PN bertindak berdiam diri sedangkan kes ini telah berlarutan terlalu lama tanpa sebarang perkembangan.

 

“PAS sentiasa bercakap tentang keadilan dan kebenaran. Tapi bila melibatkan sekutu sendiri, semua senyap. Ini yang buat penyokong bawah mula rasa kecewa,” katanya.

 

Desakan ini dijangka memberi tekanan baharu kepada kepimpinan PN, khususnya dalam usaha mempertahankan imej “bersih dan berintegriti” yang selama ini menjadi modal politik mereka.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)