Perlantikan Pengerusi PN Negeri: Muhyiddin Tunduk Kepada GERAKAN

Melaka Digest
By -
0



Perikatan Nasional (PN) kini berdepan krisis kepimpinan yang semakin tenat apabila pelantikan pengerusi negeri-negeri dilihat bukan sekadar lemah dari segi kredibiliti tetapi membuktikan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah kehilangan pengaruh sepenuhnya dalam parti yang diasaskannya bersama Mahathir.


Pelantikan terbaru Pengerusi PN negeri-negeri menunjukkan PPBM berada di kedudukan hilang kepercayaan rakyat dan ahlinya sendiri.

Mereka yang dilantik bukanlah tokoh yang punya rekod cemerlang atau wibawa untuk memimpin. Sebaliknya, majoriti dilihat sebagai “calon sisa” yang tidak diterima rakyat, tidak berfungsi sewaktu diberi kuasa dan gagal membawa sebarang nilai tambah kepada negeri masing-masing.

Lihat sahaja contoh Parti Gerakan di Pulau Pinang yang menjadi bukti nyata bagaimana PN gagal membina semula pengaruh di negeri kubu kuat DAP itu. Pengerusi PN Pulau Pinang kini hanya berfungsi secara simbolik tidak punya hala tuju, tidak berakar di peringkat akar umbi dan lebih banyak menumpang isu nasional berbanding memimpin agenda negeri. PAS terpaksa tunduk dengan GERAKAN dengan memberi laluan kepada parti tersebut walaupun PAS mempunyai ahli parlimen dan memenangi 7 kerusi DUN.

Fenomena sama berlaku di negeri lain di mana pengerusi yang dilantik bukan sekadar tidak kompeten, malah sarat dengan bagasi lama iaitu rekod keperihatinan kepada rakyat yang lemah, masalah dalaman parti PPBM itu sendiri dan kegagalan dalam pentadbiran terdahulu.

Perlantikan Mas Ermieyati Samsudin sebagai Pengerusi PN Melaka menimbulkan persoalan lebih besar, adakah beliau benar-benar tokoh terbaik untuk mengemudi gabungan itu di peringkat negeri atau sekadar keputusan politik terdesak bagi mengisi kekosongan tanpa arah dan politi balas dendam?

Sebagai bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Ermieyati gagal meninggalkan sebarang impak bermakna di Melaka termasuk di kawasan parlimennya sendiri.

Sektor pelancongan pasca-pandemik terus dibangunkan oleh kerajaan negeri melalui dasar yang jelas dan berkesan manakala Ermieyati sekadar menjadi “penumpang” dalam wacana industri. Tiada pelan strategik baharu, tiada inisiatif kreatif dan tiada pembaharuan yang dikaitkan dengan namanya sepanjang tempoh perkhidmatan.

Dengan rekod sedemikian, perlantikannya kini sebagai Pengerusi PN Melaka hanya menguatkan persepsi bahawa PN sudah kekeringan calon berwibawa.

Jika inilah tokoh yang mahu diangkat sebagai “poster boy” atau bakal Ketua Menteri Melaka, ia bukan sahaja mengecewakan, malah memperlihatkan kebankrapan kepimpinan dalam PN.

Malah pelantikan seperti Mas Ermieyati adalah simbol kejatuhan sistemik dalam PN, dari tahap penapisan calon hingga ke keupayaan strategik. Bila tokoh lemah dijadikan ikon dan yang berwibawa dipinggirkan maka tidak hairanlah PN kini dilihat hanya menunggu masa untuk runtuh.

Justeru jika ini barisan yang kononnya bakal memimpin negeri-negeri, adakah rakyat sanggup menyerahkan masa depan mereka kepada sekumpulan “pemimpin gagal” yang dilantik kerana kesetiaan, bukan kemampuan?

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)