"Undur Muhyiddin": PPBM Dungun Lebih Berani Dari PPBM Melaka

Melaka Digest
By -
0


Mas Ermieyati Masih Mahu Bersama Pemimpin Bermasalah Moral?

 
Langkah berani oleh PPBM Dungun yang mencadangkan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dan Datuk Seri Azmin Ali digugurkan daripada jawatan merupakan tamparan hebat kepada kepimpinan tertinggi parti itu. Ia bukan sekadar isyarat bahawa akar umbi sudah muak dengan kepimpinan lama tetapi juga membuktikan bahawa masih wujud segelintir pemimpin PPBM yang berani bersuara demi integriti dan maruah parti.

Ketua PPBM Dungun, Abdul Aziz Ismail dengan tegas menyatakan bahawa parti kini menghadapi krisis kepercayaan akibat beberapa individu yang “tidak lagi mempunyai relevansi” dalam pentadbiran. Dalam mesyuarat bahagian itu pada 20 Oktober lalu, mereka sebulat suara mencadangkan tiga ketetapan penting iaitu Muhyiddin berehat dari jawatan presiden, Azmin Ali digugurkan kerana isu moral yang memalukan parti dan Tun Faisal diganti dengan figura penerangan yang lebih proaktif serta berwibawa.

Namun, di sebalik keberanian PPBM Dungun, timbul persoalan yang lebih tajam mengapa PPBM Melaka di bawah pimpinan Mas Ermieyati Samsudin memilih untuk membisu?

Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Melaka yang baharu, Mas Ermieyati dilihat gagal menunjukkan kepimpinan yang berani dan berprinsip dalam menangani isu moral yang mencemari imej parti. Ketika rakan seperjuangan di Terengganu tampil mendesak perubahan, PPBM Melaka masih tenggelam dalam budaya tunduk dan takut menegur “orang atas”.

Lebih memalukan, Mas Ermieyati kini dilihat berselindung di sebalik slogan perpaduan parti, sedangkan hakikatnya beliau turut menyokong barisan kepimpinan yang dikaitkan dengan isu moral yang belum selesai. Apakah Mas Ermieyati begitu takut kehilangan jawatan sehingga sanggup menutup mata terhadap reputasi tercalar Azmin Ali, individu yang namanya sinonim dengan skandal semburit yang masih menghantui ingatan rakyat?

Ahli-ahli PPBM Melaka wajar bertanya, adakah pemimpin seperti ini benar-benar mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti? Bagaimana mereka mahu bercakap soal moral, integriti, dan kepimpinan bersih jika masih tunduk kepada individu yang menjadi simbol hipokrasi politik Malaysia?

Kenyataan daripada Dungun adalah cerminan suara hati akar umbi bahawa parti ini perlu dibersihkan daripada beban moral dan kepimpinan lesu. Malangnya, di Melaka, Mas Ermieyati masih memilih jalan selamat dengan tidak mahu menyinggung sesiapa, biarpun kebenaran terpaksa dikorbankan.

Dalam politik, keberanian menegur lebih bernilai daripada kesetiaan membuta-tuli.
 
Jika PPBM Dungun berani menuntut perubahan demi masa depan parti, PPBM Melaka di bawah Mas Ermieyati sebaliknya kelihatan masih terperangkap dalam ketakutan dan kepura-puraan.

Soalnya kini adakah Mas Ermieyati akan terus berdiam diri demi menjaga hati Muhyiddin dan Azmin atau berani menyertai suara pembaharuan yang menuntut politik berintegriti?
 
Kerana diamnya beliau bukan tanda bijak, tetapi tanda bersubahat. 
  

Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)