Isu dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kembali hangat selepas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendedahkan wujud manipulasi dan permainan “silap mata” dalam pemilihan ARMADA BERSATU yang berlangsung Oktober tahun lalu.
Dakwaan itu bukan sekadar kekecewaan peribadi, tetapi satu tamparan politik terhadap kredibiliti kepimpinan BERSATU sendiri, parti yang kononnya lahir atas slogan perjuangan “bersih, berprinsip dan berintegriti”.
Hilman Kalah, Tapi Diumum Menang?
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, berdasarkan jumlah undi awal, Muhammad Hilman Idham, calon pilihan kem Azmin Ali, sebenarnya tewas kepada pencabarnya Akmal Zahin Zainal Zahir. Namun, selepas beberapa bahagian yang memihak kepada Akmal dibatalkan secara misterius, keputusan akhir berpihak kepada Hilman dengan perbezaan tipis hanya 170 undi.
“Undi yang perlu dikira hanya lebih 1,000, tapi tiga hari diperam. Banyak undi dibatalkan dan akhirnya Hilman diumum menang. Pemilihan ini kotor,” kata Wan Ahmad Fayhsal dalam The Zaid Ibrahim Podcast.
Katanya lagi, keputusan itu menimbulkan persoalan besar tentang integriti Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang dikatakan telah menolak ketelusan demi memastikan kemenangan calon tertentu.
Muhammad Hilman bukan nama asing, beliau orang kanan Azmin Ali, yang kini menjadi Setiausaha Agung BERSATU. Justeru, dakwaan Fayhsal itu membuka semula perdebatan lama, adakah BERSATU benar-benar bergerak atas semangat reformasi atau sekadar medan pertempuran kem Azmin dan kem Hamzah Zainuddin?
“Pemilihan ini jelas ada tangan-tangan ghaib,” sindir pemerhati politik. “Apabila yang kalah diumum menang dan yang menang dipadamkan, itu bukan politik itu silap mata.”
Hamzah Cuba Tegas, Tapi Ditolak Dari Dalam
Menariknya, Fayhsal turut mendedahkan bahawa Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Setiausaha Agung ketika itu, sebenarnya telah mencadangkan beberapa SOP baharu bagi memperketat proses pemilihan, termasuk: mewajibkan gambar dan video semasa pengundian;
serta simpanan bukti borang penjumlahan undi.
Cadangan itu ditandatangani bersama oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, namun dikatakan tidak diterima oleh “pihak tertinggi” parti yang bimbang kononnya langkah itu “boleh memudaratkan”.
Fayhsal menganggap keputusan menolak SOP telus itu sebagai cubaan mengurangkan pengaruh Hamzah, khususnya dalam menjelang pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
“Ketika ini majoriti MPT masih menyokong Datuk Seri Hamzah. Jadi tak pelik jika ada pihak mahu potong sayapnya,” katanya sinis.
Dari luar, BERSATU cuba menunjukkan kesatuan namun dari dalam, retak-retak lama semakin melebar. Fayhsal sendiri kini digantung selama sepenggal, kononnya kerana isu akuan bersumpah (SD) yang menekan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun di sebalik hukuman itu, ramai melihat Fayhsal sebagai suara yang berani menyentuh tabir gelap dalaman parti, sesuatu yang ramai cuba elak.
Manipulasi undi di bahagian besar seperti Tanah Merah yang disebut Fayhsal menjadi bukti bahawa demokrasi dalaman parti itu semakin berubah menjadi ilusi, bukan lagi realiti.
Apa yang berlaku dalam ARMADA bukan sekadar pertikaian Keputusan tetapi simbol kepada masalah asas BERSATU iaitu politik dalaman yang sarat dengan intrik, kuasa dan pengaruh individu tertentu.
Dari luar, parti ini melaungkan perjuangan rakyat. Tapi dari dalam, undi ahli pun masih boleh hilang tanpa jejak.
Kini, di saat rakyat menilai siapa yang layak memimpin, BERSATU perlu menjawab satu persoalan besar jika pemilihan parti sendiri pun penuh silap mata, bagaimana mahu meyakinkan rakyat bahawa perjuangan mereka benar-benar jujur?
