Suara UMNO Sabah Adalah Suara Rakyat Sabah – Dr Akmal Salleh

Melaka Digest
By -
0

Pemuda UMNO bukan lagi sekadar bayangan masa lalu, tetapi nadi baharu perjuangan yang mendengar denyut rakyat khususnya anak muda Sabah. Tegas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Salleh, suara UMNO Sabah ialah suara rakyat Sabah sendiri, suara yang mahu didengar, difahami dan diangkat.

Menurutnya, Pemuda UMNO kini bukan lagi bergerak dengan program “syok sendiri”, tetapi turun ke lapangan dengan pendekatan segar dan realistik dengan menyantuni golongan muda melalui program berfokus selain mendengar sendiri masalah akar umbi.

“Kita tidak datang dengan baju fancy atau kereta besar. Anak muda tidak mahu pemimpin yang menunjuk-nunjuk, mereka mahu pemimpin yang mendengar permasalahan rakyat,” ujar Dr Akmal dalam satu sesi podcast.

Beliau turut mengingatkan bahawa semangat perjuangan UMNO perlu kembali kepada asas iaitu semangat kemerdekaan dan pengabdian kepada rakyat. “Pemuda mesti turun ke bawah. Kita tidak boleh duduk di atas mimbar menunggu orang datang,” katanya.

Dr Akmal juga mendedahkan bahawa UMNO Sabah akan menampilkan calon muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Katanya, hasil perbincangan bersama Presiden UMNO, DAto Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, kedua-duanya bersetuju memberi ruang kepada muka baharu sebagai lambang pembaharuan parti.

“Kita belajar daripada kejayaan di Nenggiri, Air Kuning dan Mahkota, kawasan yang dulunya kalah di saluran orang muda, kini menang. Formula itu akan dibawa ke Sabah,” jelas beliau.

Dalam masa sama, Dr Akmal menegaskan bahawa UMNO Sabah memiliki autonomi penuh dalam menentukan hala tuju politik negeri. Keputusan menolak cadangan bergabung dengan GRS membuktikan bahawa UMNO Sabah benar-benar “milik orang Sabah”.

“UMNO bukan parti Semenanjung seperti yang cuba digambarkan. UMNO adalah parti untuk semua rakyat Malaysia. Pelik bila yang menuduh UMNO parti Semenanjung itu sebenarnya pernah hidup mewah hasil perjuangan UMNO,” sinisnya.

Dr Akmal menutup pesannya dengan tegas:

“Suara UMNO Sabah adalah suara rakyat Sabah. Dan suara itu akan terus bergema hingga ke jantung perjuangan bangsa.”
 
 

Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)