Kejadian Rogol Dalam Sekolah: PAS Melaka Menangguk di Air Keruh

Melaka Digest
By -
0

Kejadian rogol dalam kawasan sekolah di Alor Gajah sememangnya suatu tragedi yang mengejutkan dan menyayat hati. Namun, lebih mengecewakan apabila insiden tragik sebegini dijadikan bahan politik murahan oleh PAS Melaka. 
 


Kenyataan Ketua Penerangan PAS Melaka yang menuding jari kepada “kegagalan sistem pendidikan” kononnya menjadi punca utama kejadian ini jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan cubaan menangguk di air keruh. Sedangkan isu moral dan akhlak pelajar bukanlah semata-mata hasil kelemahan sistem pendidikan, tetapi mencerminkan cabaran sosial yang memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk peranan ibu bapa, komuniti, dan institusi agama sendiri.

Ironinya, PAS yang sering mendabik dada sebagai parti “pendidik ummah” langsung tidak menekankan tanggungjawab ibu bapa serta institusi keagamaan dalam membentuk disiplin dan nilai moral anak-anak. Mereka hanya memilih jalan mudah dengan menyalahkan sistem dan kerajaan, sambil menangguk simpati politik.

Hakikatnya, pendidikan moral dan nilai tidak bermula di sekolah, tetapi di rumah. Ibu bapa ialah barisan pertahanan pertama dalam membentuk akhlak anak-anak. Sekolah pula berperanan sebagai pengukuh nilai itu, bukan pengganti kepada tanggungjawab keluarga.

Justeru, PAS Melaka sepatutnya menunjukkan kepekaan dan empati terhadap mangsa, bukannya menjadikan insiden rogol ini modal politik untuk menyerang sistem pendidikan negara. Isu sebegini memerlukan suara penyatuan dan solusi bersama bukan retorik yang menambah luka masyarakat.

Dalam isu yang melibatkan masa depan anak-anak bangsa, politik murahan bukan jawapan. Yang perlu sekarang ialah tindakan, bukan tudingan.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)