Tularnya dakwaan kononnya lebih 3,000 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kem TLDM Sepanggar akan mengundi calon PAS di DUN Karambunai bukan sekadar tidak berasas, malah mencerminkan taktik politik paling rendah mutunya.
Naratif itu dibina dengan menyandarkan anggapan simplistik bahawa asal-usul dari Kelantan atau Terengganu secara automatik menjadikan seseorang penyokong PAS, satu logik songsang yang menghina profesionalisme anggota pertahanan negara.
Seorang anggota TLDM yang enggan dikenali menolak keras dakwaan tersebut.
“Asal Kelantan atau Terengganu bukan bermakna mesti undi PAS. Kenyataan itu tidak tepat,” katanya ringkas tetapi tegas.
Menurutnya, anggota tentera tidak pernah membuat keputusan politik berdasarkan emosi, nostalgia negeri asal atau sentimen kepartian. Etika dalam perkhidmatan pertahanan menuntut kewarasan pertimbangan, disiplin dan integrity, jauh daripada gambaran dangkal yang cuba dimainkan sesetengah pihak.
“Anggota tentera sentiasa profesional. Kami memilih kerajaan berdasarkan kepentingan negara, kestabilan nasional dan kebajikan pasukan beruniform,” tambah beliau.
Beliau turut mengecam percubaan untuk mengaitkan undi tentera kepada sesuatu parti hanya kerana faktor geografi dan menyifatkannya sebagai usaha manipulatif yang cuba memancing simpati melalui stereotaip budaya.
“Memilih hanya kerana sentimen negeri kononnya milik satu parti adalah salah. Kita pilih parti yang terbukti menjaga kebajikan anggota dan keluarga, bukan berdasarkan label budaya atau stereotaip,” jelasnya.
Kenyataan itu hadir pada saat kritikal menjelang undi awal, melibatkan hampir 25,000 anggota tentera, polis dan pasangan mereka di seluruh Sabah. Golongan ini merupakan antara pengundi yang paling disiplin, tersusun dan bebas dari pengaruh emosi berlebihan yang menjadikan mereka sasar propaganda yang sering gagal.
Mengheret institusi pertahanan negara ke dalam kancah politik kepartian merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab. Ia bukan sahaja merendahkan martabat anggota yang berkhidmat mempertahankan kedaulatan negara, tetapi turut cuba menanam persepsi palsu bahawa tentera boleh diperalat atau dimiliki oleh mana-mana parti politik.
Realitinya, anggota beruniform telah lama membuktikan bahawa mereka tidak tunduk kepada permainan persepsi, retorik atau sentimen kepartian sempit.
Propaganda seperti ini hanya mendedahkan panik, ketandusan strategi dan keputusasaan pihak yang menyebarkannya.
Institusi pertahanan negara kekal teguh, profesional dan berkecuali dan cubaan mencemar integriti mereka hanya akan memakan diri.
