Sabah sedang melalui salah satu detik paling genting dan panas dalam sejarah politik moden negeri itu. Pilihan Raya Umum DUN ke-17 bukan sekadar pertarungan dasar atau persaingan antara parti, tetapi gelanggang mempertahankan empayar keluarga, kroni dan kelompok yang telah lama bertaut pada batang tubuh kuasa.
Di sebalik slogan pembangunan dan perubahan yang dijual kepada rakyat, realitinya Sabah kembali dibayangi politik pewarisan seolah-olah kerusi DUN adalah harta pusaka yang boleh diagih sesama ahli keluarga.
Lebih mencemarkan maruah negeri, kemunculan video pendedahan oleh Albert Tei yang mengaitkan nama-nama besar GRS dan PH dalam isu rasuah projek mineral membuka sisi gelap politik Sabah.
Pendedahan itu mengheret sama dakwaan campur tangan tokoh berpengaruh dalam kelulusan projek berjuta-juta ringgit, sekali gus mengesahkan kebimbangan rakyat bahawa korupsi bukan lagi khabar angin, tetapi fenomena yang mengakar.
Di peringkat pemilihan calon pula, corak yang muncul tidak lagi dapat disembunyikan. Menurut sumber dalaman war room, antara hubungan kekeluargaan yang terbentang dalam pencalonan kali ini termasuk:
1. Sulaman & Pantai Dalit– Pakcik bertanding berhadapan atau bersebelahan dengan anak buah.
2. Tg Keramat – Kerusi bertukar tangan dalam keluarga, daripada abang kepada adik.
3. Parlimen Papar & DUN Kawang – Sekali lagi, pakcik dan anak buah menguasai dua kawasan strategik.
4. Bongawan & Membakut – Gandingan bapa mentua dan menantu.
5. Balung & Apas – Pakcik dan anak buah turut menguasai kawasan ini.
6. Pintasan & Sekong – Suami dan isteri sama-sama dicalonkan.
7. Bingkor & Liawan – Adik (STAR) dan abang (GRS); bendera berbeza, darah tetap sama.
8. Sindumin & Sungai Manila – Pertembungan abang (PH) dan adik (GRS).
Situasi ini menimbulkan persoalan besar, adakah ini pertandingan politik atau sekadar sandiwara keluarga? Di jalanan, rakyat sudah mula menyindir dengan kata-kata, “Parti untuk urang-urang durang saja.”
Persepsi itu bukan tanpa asas. Apa yang jelas, parti bukan lagi wadah perjuangan rakyat tetapi platform mengukuhkan jaringan kuasa dan pengkayaan peribadi. Mereka yang lantang mengkritik dipinggirkan, sementara kroni dan sanak saudara terus diangkat. Rakyat pula hanya disogok janji “projek akan disiapkan” janji yang sudah basi dan diulang saban pilihan raya.
Dalam suasana begini, persoalan paling penting timbul, sampai bila rakyat Sabah harus mengizinkan politik anak-pinak, politik kawan-kroni dan politik rasuah terus mencengkam negeri ini?
PRU DUN ke-17 bukan sahaja memilih wakil rakyat, tetapi menentukan sama ada budaya pewarisan kuasa terus hidup atau dihentikan. Masa depan Sabah tidak boleh diserahkan kepada mereka yang menjadikan negeri ini papan catur keluarga dan kelompoknya.
Kini, kuasa kembali ke tangan rakyat.
Buka mata, baca pola, dan buat pilihan yang memutuskan legasi lama yang membebankan masa depan Sabah.
.jpeg)