Apa Keperluan PAS Melaka Buat Program ‘Membahas Ucapan Dasar Presiden’?

Melaka Digest
By -
0

Program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden lazimnya menjadi ruang untuk ahli meneliti, menghuraikan dan memperhalusi intipati ucapan presiden parti dalam sesebuah muktamar. Namun timbul persoalan yang lebih mendasar, sejauh mana ucapan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam muktamar lalu benar-benar mempunyai nilai strategik, dasar atau pengisian yang wajar diperbahaskan oleh PAS Melaka?


Kebiasaannya, ucapan dasar presiden membawa hala tuju utama parti, panduan polisi dan penekanan terhadap isu-isu rakyat. Namun ucapan Hadi pada muktamar lalu tidak memperlihatkan hal tersebut. Ia tidak memberikan sebarang hala tuju ekonomi, tidak menyentuh bajet dan tidak menggariskan reformasi strategik untuk negeri-negeri yang PAS tadbir.

Jika ucapan itu sendiri tidak mengandungi visi dasar yang jelas, apakah lagi yang harus diperhalusi oleh PAS Melaka?

Kelantan: 40 Tahun Pemerintahan, Masalah Asas Masih Berulang

Kelantan, yang diperintah PAS hampir empat dekad, terus berdepan masalah infrastruktur asas seperti air, jalan, kebersihan, peluang pekerjaan namun ucapan presiden langsung tidak menyentuh keperluan pembetulan atau pembaharuan. Kegagalan menyelesaikan isu rakyat tidak pernah dibahas, apatah lagi dikritik secara dalaman.

Terengganu: Negeri Kaya Sumber, Namun Terus Dalam Kategori Miskin

Terengganu pula berulang kali mencuri perhatian apabila kerajaan negeri terpaksa merayu bantuan pusat bagi melunaskan tanggungjawab asas seperti pembayaran gaji kepada kakitangan awam. Walaupun ia memalukan sebuah kerajaan negeri yang baru memperolehi mandat besar, ucapan Hadi tidak menawarkan refleksi mahupun jalan penyelesaian.

Kedah: Banyak Pengumuman, Tiada Pelaksanaan

Di Kedah, pelbagai projek mega diumumkan saban tahun, namun majoritinya tidak menunjukkan sebarang kemajuan fizikal atau tarikh pelaksanaan. Isu-isu ini juga tidak disentuh dalam ucapan dasar. Tiada analisis, tiada komitmen, tiada hala tuju.

Perlis: Gagal Awal, Reputasi Menjadi Liabiliti

Perlis berada dalam keadaan lebih parah. Kerajaan negeri bergelut sejak awal pentadbiran dan reputasi parti terjejas apabila pemimpin tertinggi negeri sendiri kalah pemilihan parti, sementara ahli keluarga terpalit dengan isu penipuan melibatkan istana?. Ucapan presiden juga membisu soal ini.

Persoalan Pokok: Apa Yang Sebenarnya Mahu Dibahaskan?



Jika ucapan dasar presiden tidak mengangkat isu rakyat, tidak menegur kelemahan pentadbiran parti sendiri, tidak menggariskan dasar ekonomi yang kukuh dan tidak menawarkan pembaharuan jadi apakah sebenarnya yang mahu dimunaqasyahkan oleh PAS Melaka?


Adakah ini sekadar program ritual untuk mengisi kalender parti? Atau satu lagi aktiviti syok sendiri yang langsung tidak membawa manfaat kepada ahli PAS Melaka itu sendiri? Melaka memerlukan pemimpin yang berfokus kepada pembangunan negeri, penyelesaian isu rakyat, pembaharuan dasar dan hala tuju masa depan dan bukannya membazir masa dengan program yang tiada halatuju. Lagi pun ahli PAS Melaka jangan keliru dengan penggunaan Bahasa arab tersebut, itu hanya Bahasa Arab dan tidak lebih dari itu.
 
Pelik juga dengan ADUN Rembia ada bersama, rajin pula dia turun padang dalam program parti, 400 aduan warga Rembia tidak diendah khabarnya. 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)