PRN Sabah: Pertarungan Moral Terbesar Dalam Sejarah Negeri

Melaka Digest
By -
0
rakyat Sabah permainkan wajah calon?

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini bukan lagi sekadar pertandingan politik rutin. Ia telah menjadi pentas paling kelam dalam sejarah negeri apabila terbongkarnya skandal rasuah mega melibatkan lombong mineral, isu yang menggoncang kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negeri dan mendedahkan sisi gelap urus tadbir yang sudah lama membarah.


Kemelut ini tercetus apabila video pendedahan oleh Albert Tei tular di media sosial, memaparkan perbualan berhubung rundingan lesen melibatkan sumber mineral Sabah. Nilai “komisen” yang disebut mencecah jutaan ringgit menunjukkan betapa kayanya hasil bumi Sabah dan betapa rakusnya tangan-tangan yang berebut di belakang tabir.

Lebih membimbangkan, sekitar 15 wakil rakyat GRS didakwa mempunyai hubungan langsung dengan jaringan rasuah ini. Bukan sekadar ahli politik, malah turut disebut ialah pegawai tinggi kerajaan negeri. Hakikat ini menimbulkan gambaran bahawa sistem pentadbiran Sabah seolah-olah telah diselubungi budaya “urus niaga gelap” yang merugikan rakyat.

Nama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, turut disebut-sebut dalam laporan dalaman serta rakaman yang tular walaupun beliau menafikan sebarang pembabitan. Namun timbul persoalan lebih besar, bagaimana skandal sebesar ini boleh berlaku tanpa sebarang pengetahuan daripada pemimpin tertinggi negeri? Adakah ia kelemahan pengawasan? Atau sekadar sikap membiarkan asalkan “bahagian” tetap sampai?

Persoalan-persoalan ini terus menghantui rakyat Sabah yang sudah lama mahukan kepimpinan bersih dan bertanggungjawab. 

Antara video pendedahan Albert Tei
 
Slogan pembangunan yang sering dilaungkan kini menjadi sindiran. Bagi rakyat, kemajuan yang diwar-warkan hanya menguntungkan segelintir elit politik dan kroni mereka. Hasil bumi yang sepatutnya memperkayakan rakyat terutamanya komuniti luar bandar akhirnya hanya berlegar dalam poket mereka yang berkuasa.

Sabah kekal antara negeri terkaya dari segi sumber tetapi antara termiskin dari sudut realiti hidup rakyat. Skandal ini membuktikan kenapa jurang itu tidak pernah tertutup.

PRN kali ini adalah titik pemisah antara masa depan yang lebih telus dan masa depan yang terus dikuasai budaya rasuah. Jika individu yang terpalit skandal dipilih semula, Sabah akan kekal terperangkap dalam kitaran kemiskinan yang dicipta oleh kepimpinan rakus.

Rakyat Sabah kini berdepan pilihan yang lebih besar daripada sekadar memilih calon tetapi mereka sedang menentukan maruah negeri, integriti pentadbiran, dan hala tuju generasi akan datang.

PRN Sabah bukan sekadar pilihan raya. Ia adalah perhitungan moral terbesar dalam sejarah negeri di bawah bayu dan rakyat adalah hakim yang menentukan sama ada kegelapan ini akan berterusan atau cahaya baharu akan muncul untuk menyelamatkan Sabah.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)