Isu “Hak 40% Sabah” semakin jauh daripada landasan perbincangan ilmiah apabila ia diseret menjadi bahan politik oleh pihak yang sedang mencari kelebihan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN). Naratif yang dibentuk bukan sekadar kabur, malah berpotensi merosakkan pemahaman awam terhadap perjanjian fiskal yang kompleks di antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.
Terkini, Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan mendakwa Sabah sepatutnya menerima RM4 bilion dan bukannya RM600 juta seperti diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Pembentangan Belanjawan 2026. Dakwaan itu, bagaimanapun, tidak bersandar kepada formula perakaunan fiskal atau tafsiran perlembagaan, sebaliknya kepada rumusan longgar yang bersifat populis.
Kenyataan tersebut menggambarkan seolah-olah hasil cukai negara boleh dibahagi seperti bayaran teh tarik di kedai mamak jika Kerajaan Persekutuan mengutip RM10 bilion, maka RM4 bilion mesti dipulangkan. Pendekatan sebegitu bukan sahaja naïf tetapi membayangkan kegagalan memahami struktur fiskal sebenar yang termaktub dalam MA63 dan Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
MA63 tidak pernah dirangka sebagai perjanjian aritmetik mudah. Ia melibatkan tanggungan kerajaan seperti kos keselamatan, perbelanjaan pembangunan, operasi ESSCOM, gaji guru, pembinaan jalan raya dan penyediaan pelbagai infrastruktur asas untuk rakyat Sabah. Hak 40% bukan sekadar angka, ia tanggungjawab fiskal jangka panjang yang perlu diseimbangkan dengan realiti keupayaan negara.
Naratif “Sabah berhak dapat RM4 bilion” yang dibawa PAS ini lebih bersifat provokasi daripada penyelesaian. Ia menanam persepsi seolah-olah Kerajaan Persekutuan menipu rakyat Sabah, sedangkan tafsiran hak 40% sendiri memerlukan penelitian teknikal, data audit dan rundingan dua hala yang formal.
PAS cuba tampil sebagai “juara hak Sabah”, walhal rekod mereka sendiri di Pantai Timur termasuk dalam isu royalti minyak Kelantan dan Terengganu tidak menunjukkan komitmen yang sama. Ironinya, parti yang gagal memperjuangkan hak negeri mereka kini tampil mengajar Sabah tentang mekanisme fiskal persekutuan.
Lebih membimbangkan, kenyataan tersebut menunjukkan ketidakmampuan membezakan antara hasil cukai Persekutuan dan pendapatan negeri. Dua perkara itu diatur oleh peruntukan undang-undang berbeza dan tidak boleh dicampur-adukkan sesuka hati. Menyederhanakan isu kompleks sebegini hanya membuka ruang manipulasi politik, apatah lagi apabila melibatkan audiens yang mungkin tidak terdedah kepada butiran teknikal.
Kita menyaksikan kelahiran naratif baharu yang cuba mencetuskan sentimen antara Sabah dan Semenanjung. Tujuannya jelas, menghasilkan modal politik segera. Namun yang terkorban ialah kefahaman rakyat dan hubungan federal-negeri yang sepatutnya dibina atas asas rundingan, bukan retorik.
Jadi, Hak 40% Sabah adalah perkara serius yang memerlukan ketelitian undang-undang, pengiraan fiskal dan rundingan diplomatik. Bukan slogan politik. Rakyat Sabah berhak mendapat maklumat yang tepat, bukan angka rekaan dan rumusan mudah ala “pembaris sekolah”.
