![]() |
ALOR GAJAH – Seorang warga emas lelaki berusia 81 tahun yang baru kematian isteri bulan lalu ditahan selepas dipercayai bersekedudukan dengan seorang wanita berusia 69 tahun di sebuah rumah di Lubok China, di sini malam tadi.
Serbuan dilakukan kira-kira jam 10 malam tadi hasil maklumat penduduk tempatan bersama pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Imam 1, Ketua Kampung (Sidang) dan anggota polis Balai Lubok China serta penduduk kampung.
Difahamkan ketika serbuan dilakukan, pasangan berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen sah pernikahan.
Kejadian itu turut tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga net.
Menurut sumber kariah masjid, warga emas lelaki berkenaan yang merupakan peniaga sering dilihat keluar dengan wanita berkenaan sebelum ini selepas kematian isteri bulan lalu.
“Bagaimanapun difahamkan mereka sudah lama tidak berhubung sehinggalah isterinya meninggal dunia seminggu yang lalu.
“Pasangan itu juga bukanlah tinggal bersama di rumah berkenaan cuma ketika serbuan dibuat, hanya mereka berdua berada di dalam rumah,” katanya.
![]() | |
| Tular gambar sepasang warga emas berusia 81 dan 69 tahun ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas dipercayai bersekedudukan di sebuah rumah di Lubok China, Alor Gajah, Melaka malam tadi. |
Sumber berkata, penduduk sebelum ini sudah menegur tindakan pasangan warga emas terbabit yang sering keluar berdua sehingga terpaksa mengambil tindakan melakukan serbuan.
Pasangan itu kemudian dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan tanpa nikah.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

