Kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa kes video skandal rasuah yang membabitkan beberapa ADUN Sabah “belum dipadam atau ditutup” telah membuka kembali satu bab kontroversi politik GRS yang cuba ditutup oleh pusat kuasa di negeri ini.
Ia bukan sekadar peringatan bahawa fail siasatan masih aktif tetapi juga pengesahan bahawa individu-individu yang terlibat kini berada dalam radar SPRM dan Peguam Negara. Perdana Menteri menegaskan di Parlimen bahawa kes itu “mesti disiasat”, sekali gus menamatkan naratif bahawa isu tersebut sudah lenyap atau selesai dan menolak harapan mana-mana pihak untuk menutup mata rakyat Sabah.
Lebih mendalam lagi, skandal ini berkait rapat dengan pendedahan ahli perniagaan Albert Tei mengenai amalan ‘kickback’ dan sogokan yang melibatkan projek serta kelulusan perlombongan mineral di Sabah. Pendedahan itu menunjukkan bagaimana sistem ‘tol-rasuah’ beroperasi, bagaimana lesen tidak akan bergerak tanpa bayaran, dan bagaimana individu berkuasa tertentu menjadikan kuasa mereka sebagai ‘lombong emas’ untuk kepentingan peribadi.
Penganalisis politik melihat bahawa siasatan terhadap skandal mineral ini bukan sahaja prosedur undang-undang semata tetapi berpotensi menjadi senjata politik, alat ugutan atau “bahan taruhan” untuk menekan watak-watak tertentu termasuk mereka yang rapat dengan kepimpinan negeri.
Dengan beberapa ADUN yang masih terkait skandal itu kembali dicalonkan, Sabah berpotensi menyaksikan pilihan raya di mana calon-calon tersebut berdepan gelanggang dengan beban fail jenayah yang boleh dibuka bila-bila masa. Seorang pemerhati politik tempatan menegaskan, “Ini bukan lagi soal ‘jika’ tetapi ‘bila’. Mereka bukan duduk atas kerusi yang stabil tetapi atas bahan letupan yang sudah dinyalakan sumbunya.”
Kebimbangan terbesar ialah apabila pemimpin terpalit skandal rasuah berisiko dituduh pada bila-bila masa. Mereka menjadi sasaran mudah untuk dikawal, dipaksa tunduk dan diarah berdiam diri. Sabah tidak boleh dipimpin oleh individu yang boleh dijinakkan melalui fail SPRM.
Menurut seorang penganalisis politik universiti, risiko ini menjadi lebih kritikal apabila membabitkan rundingan hak 40% hasil bersih Persekutuan di Sabah di bawah MA63. “Jika pemimpin Sabah masuk meja rundingan dengan status ‘boleh didakwa bila-bila masa’, mereka bukan runding tetapi merayu selamatkan tengkok,” katanya. Hak rakyat Sabah boleh digadaikan sebagai “pertukaran” demi kelangsungan politik peribadi.
Persoalan utama kini: adakah kepimpinan Sabah, khususnya Datuk Seri Hajiji Noor, sedang mempertaruhkan masa depan MA63 dengan membiarkan individu terpalit skandal mineral dan video rasuah terus berada dalam lingkaran kuasa?
Pilihan raya ini bukan sekadar pertandingan biasa. Ia menjadi referendum tentang maruah negeri, adakah Sabah mahu dipimpin oleh pemimpin yang bebas menuntut hak rakyat atau oleh mereka yang mungkin terpaksa “membayar” harga kebebasan sendiri dengan menyerahkan hak Sabah kepada Persekutuan?
Keputusan kini berada di tangan rakyat Sabah. Pilihan yang salah bukan sahaja akan menjatuhkan pemimpin tetapi turut mengorbankan hak Sabah di bawah MA63.
