PRU DUN Sabah: Lawan Pandikar Amin Mulia, Fairuz Renddan Dipecat

Melaka Digest
By -
0

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa parti tidak akan berkompromi terhadap mana-mana ahlinya yang memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut beliau, tindakan ahli GRS atau Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang melanggar disiplin parti dengan tidak menggunakan logo rasmi gabungan akan menerima hukuman tegas, termasuk pemecatan.

“Penyertaan calon daripada parti lain kita boleh terima, tetapi ahli PGRS atau GRS yang bertanding sebagai calon Bebas akan diambil tindakan pemecatan. Ini perkara yang kita tidak boleh bertolak ansur,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Sulaman, Sabtu.

Sebelum ini, Gagasan Rakyat telah mengeluarkan peringatan keras bahawa mana-mana ahli yang bertindak bertanding sebagai calon Bebas akan dipecat serta-merta.

Isu berkenaan semakin hangat apabila penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan, yang juga Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, memutuskan untuk mempertahankan kerusinya sebagai calon Bebas. Beliau akan berdepan calon rasmi GRS, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Selain Fairuz, dua lagi ahli Gagasan Rakyat turut mengambil keputusan serupa, Roland Chia di DUN Inanam dan Datuk Maijol Mahap di DUN Bandau.

Di Inanam, PH mempertaruhkan Datuk Peto Galim, manakala GRS meletakkan Datuk Redonah Bahanda di Bandau.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)