Peribahasa ini kembali bergema di media sosial susulan penamaan calon PRU DUN Sabah, apabila calon PAS–Perikatan Nasional terpaksa melangkah ke gelanggang dalam suasana sentimen rakyat yang semakin tawar terhadap mereka.
Insiden ‘roti Gardenia’ yang tular sebelum ini bukan sekadar bahan jenaka politik tetapi telah menjadi simbol kemarahan dan rasa tercabar rakyat Sabah apabila maruah mereka dipersendakan. Hinaan yang bermula dari Dewan Undangan Negeri Kedah seakan tidak mahu pudar malah terus dibangkitkan oleh pengguna media sosial sepanjang proses penamaan calon berlangsung.
Bukan kali pertama isu penghinaan dikaitkan dengan pemimpin PAS, dari kenyataan yang memperlekeh rakyat negeri lain hinggalah kepada ucapan Hadi Awang yang sering menggunakan perbandingan haiwan dalam ceramah politiknya semuanya kini kembali menghantui parti itu di Sabah.
Rakyat Sabah terkenal dengan budaya yang mesra, terbuka dan hormat-menghormati. Sebab itu, apa-apa bentuk ejekan atau sindiran berbaur merendah-rendahkan identiti Sabah dianggap melampaui batas. Kesan jangka panjangnya jelas: persepsi buruk ini menyukarkan calon PAS di peringkat DUN untuk mendapatkan kepercayaan pengundi.
Sejak pagi penamaan calon, pelbagai meme, poster sindiran dan video pendek bertebaran di TikTok, Facebook dan X.
Ada yang mempersoalkan keikhlasan PAS bertanding di Sabah, ada yang mengingatkan kembali kata-kata pemimpin mereka dan tidak kurang juga yang mempersoalkan mengapa PAS masih gagal memahami sensitiviti rakyat negeri itu.
Setiap kemunculan calon PAS di pusat penamaan calon seolah-olah dibayangi isu ‘Roti Gardenia’, yang menjadi simbol ketidakpekaan pemimpin mereka terhadap sentimen lokal Sabah.
Dalam PRU DUN Sabah kali ini, PAS bukan sahaja bertanding melawan lawan politik mereka tetapi juga melawan amarah rakyat Sabah yang tidak mudah melupakan penghinaan.
