Asas paling penting dalam penghakiman yang mensabitkan Najib Razak bersalah dalam kes 1MDB–Tanore bertumpu kepada satu andaian teras, bahawa Jho Low bertindak sebagai proksi kepada Najib dan oleh itu apa sahaja perbuatan Jho Low harus dianggap sebagai perbuatan Najib sendiri. Andaian inilah yang menjadi tulang belakang kepada keseluruhan naratif pendakwaan dan penerimaan mahkamah.
Hakikatnya, sepanjang perbicaraan tiada bukti langsung dikemukakan yang menunjukkan Najib pernah mengeluarkan arahan melanggar undang-undang atau mengarahkan wang haram dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Kekosongan bukti langsung ini menyebabkan pihak pendakwaan dan mahkamah bergantung kepada kesimpulan ringkas iaitu ‘Najib = Jho Low dan Jho Low = Najib’ tanpa pengujian menyeluruh terhadap syarat dan logik konsep proksi itu sendiri.
Sebaliknya, rekod keterangan dan dokumen memperlihatkan gambaran berbeza. Pangkalan data e-mel PetroSaudi, misalnya, tidak menunjukkan Jho Low bertindak sebagai wakil Najib. Malah terdapat e-mel yang menggambarkan pegawai PetroSaudi berkomplot dengan Jho Low untuk mereka naratif bagi memperdaya dan menipu Najib. Penemuan ini selari dengan dapatan Mahkamah Switzerland yang tidak pernah menyimpulkan Najib bersalah sebaliknya mendapati pengurusan PetroSaudi menipu Najib dan Prince Turki dengan gambaran palsu bahawa PetroSaudi kononnya milik kerajaan Arab Saudi dan beroperasi dengan restu Raja Abdullah.
Analisis The Edge terhadap e-mel PetroSaudi turut menyokong kesimpulan tersebut, menyatakan bahawa sehingga hujung 2010 Najib tidak menyedari penyelewengan US$1.5 bilion itu. Jejak wang menunjukkan aliran dana pergi kepada Jho Low dan Tarek tanpa satu sen pun sampai kepada Najib.
Hubungan dan tindakan Jho Low juga menimbulkan persoalan serius terhadap dakwaan proksi. Selama bertahun-tahun, Jho Low mendesak agar 1MDB diberikan jaminan kerajaan kedua untuk pinjaman baharu, namun Najib menolak. Penolakan ini mendorong Jho Low bersama pihak Goldman Sachs bertindak sendiri mencari Putera Abu Dhabi yang juga Pengerusi IPIC bagi mendapatkan jaminan. Hanya selepas itu, mereka memaklumkan kepada 1MDB dan Najib bahawa IPIC kononnya bersetuju melabur bersama serta menjamin pinjaman, satu urutan peristiwa yang sukar diselaraskan dengan konsep proksi yang patuh arahan.
Pada 2014, Najib sendiri menghubungi banker BSI kerana mula ragu terhadap pelaburan 1MDB, lalu menukar pengurusan dan lembaga pengarah syarikat tersebut. Jika Jho Low benar-benar proksi Najib, tidak wujud keperluan untuk tindakan pembetulan sedemikian yang lahir daripada keraguan Najib sendiri.
Lebih penting, dalam perbicaraan di Amerika Syarikat, Jho Low bersama dua eksekutif Goldman Sachs Tim Leissner dan Roger Ng didapati berkomplot untuk menipu Najib. Roger Ng secara konsisten menegaskan termasuk di Mahkamah Malaysia, bahawa Najib tidak terlibat dalam perancangan mereka. Namun, kenyataan ini dilihat tidak diberi pertimbangan wajar, walaupun Roger Ng dibawa pulang khas untuk memberi keterangan.
Pengurus bank AmBank pula memberi keterangan bahawa atas arahan Jho Low, kedudukan sebenar akaun bank telah disembunyikan daripada pengetahuan Najib. Di sinilah kegagalan memahami konsep proksi menjadi paling ketara. Secara logik, seseorang yang memiliki proksi, orang tengah dan rangkaian syarikat lapik untuk mengurus bayaran haram tidak akan menggunakan akaun bank peribadi sendiri, apatah lagi ketika memegang jawatan Perdana Menteri. Menggunakan akaun sendiri bererti meninggalkan jejak transaksi yang mudah dikesan bahkan oleh pelajar perakaunan tahun pertama.
Maka, apabila timbul dakwaan bahawa bayaran haram dibuat terus melalui akaun peribadi Perdana Menteri, satu-satunya penjelasan yang munasabah ialah Najib mempercayai dana itu sah, sebab itulah beliau mengarahkan bank dan Gabenor Bank Negara untuk memantau akaunnya. Gambaran bahawa seorang Perdana Menteri yang kononnya licik tiba-tiba bertindak bodoh dalam urusan kewangan tidak menggunakan proksi, sebaliknya menggunakan akaun tempatan atas namanya sendiri ketika akaun tersebut dipantau puluhan pihak adalah logik yang sukar diterima.
Dalam konteks ini, muncul pula persoalan hubungan peribadi dan profesional yang menuntut penelitian awam. Jasmine Loo, tokoh penting yang sering dikaitkan dengan Jho Low dalam urusan 1MDB dan pernah dilaporkan mempunyai hubungan profesional sebagai rakan kongsi dengan hakim yang mengendalikan kes 1MDB. Walaupun hubungan sedemikian tidak dengan sendirinya membuktikan salah laku, kewujudannya wajar dinyatakan secara terbuka demi ketelusan, khususnya apabila kes ini bergantung kepada penilaian kredibiliti, inferens dan andaian proksi yang kompleks. Malah Jasmine mengaku menerima wang RM100 juta dari Jho Low, untuk apa wang sebanyak itu? Baca di SINI.
Akhirnya, jika Jho Low benar-benar proksi Najib, biarlah Jho Low yang membuat bayaran. Tidak perlu Najib menggunakan akaun banknya sendiri. Hakikat bahawa bayaran dikaitkan terus kepada akaun peribadi Najib dengan pemantauan bank pusat melemahkan dakwaan proksi dan menguatkan persoalan sama ada asas penghakiman telah diuji dengan logik dan bukti yang mencukupi.
Semua terkejut dengan keputusan kemenangan yang tidak disangka dan sibuklah para laskar siber upahan merekayasa sokongan bahawa Jho Low adalah proksi Najib.
