Pengerusi Perikatan Nasional: PAS Tidak Pujuk Muhyiddin

Melaka Digest
By -
0


Perkembangan terbaharu dalam Perikatan Nasional (PN) mendedahkan satu hakikat bahawa tiada sebarang usaha daripada kepimpinan tertinggi PAS untuk memujuk Muhyiddin Yassin agar menarik balik keputusan beliau melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN. Hakikat ini bukan sahaja mengejutkan sebahagian penyokong, malah membuka ruang tafsiran baharu terhadap dinamika kuasa sebenar dalam gabungan itu.


Menurut maklumat yang beredar, tiada satu pun inisiatif rasmi atau tidak rasmi dilakukan oleh pimpinan utama PAS termasuk Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Malah malah Dewan Ulama PAS Pusat yang sering dilihat sebagai sayap berpengaruh juga tidak menunjukkan sebarang tanda campur tangan atau desakan agar Muhyiddin kekal. Keadaan ini menggambarkan suasana seolah-olah keputusan tersebut diterima dengan tenang, malah dianggap selari dengan kehendak sebahagian pihak sejak sekian lama.

Sikap “redha” yang ditunjukkan oleh kepimpinan PAS menimbulkan persoalan besar, adakah Muhyiddin kini dilihat sebagai liabiliti politik kepada PN?

Beberapa penganalisis berpandangan bahawa kekalahan PN di Sabah serta siri keputusan mengecewakan dalam beberapa pilihan raya kecil di Semenanjung telah meletakkan beban politik yang berat ke atas bahu beliau.

Faktor ini dilihat semakin meruncing apabila Muhyiddin kini berdepan pertuduhan mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa yang melibatkan dakwaan kemasukan dana berjumlah lebih RM200 juta ke dalam akaun BERSATU.


Dalam konteks politik gabungan, isu integriti dan persepsi awam memainkan peranan kritikal. PAS yang selama ini cuba mengekalkan imej bersih dan berprinsip di mata penyokongnya, berkemungkinan memilih untuk tidak mengikat diri dengan beban yang boleh menjejaskan kepercayaan akar umbi. Keengganan untuk memujuk Muhyiddin boleh dibaca sebagai isyarat halus bahawa PAS bersedia bergerak ke fasa baharu, sama ada dalam PN atau di luar kerangka kepimpinan lama.


Ketiadaan episod “pujuk-memujuk” ini bukan sekadar soal peribadi atau emosi politik, sebaliknya mencerminkan perhitungan strategik yang lebih besar. Dalam politik, diam kadangkala lebih lantang daripada kata-kata dan dalam kes ini, diam PAS mungkin membawa makna bahawa perubahan kepimpinan PN bukan sesuatu yang ditakuti, malah mungkin ditunggu.


Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)