Enggan Serah Kuasa Kepada BERSATU: DUN Perlis Bakal Bubar?

Melaka Digest
By -
0

Isyarat politik dari Perlis kini semakin jelas nadanya tajam, sinis dan sarat dengan mesej tersirat. Di sebalik slogan “Perpaduan Perikatan Nasional”, realitinya hubungan PAS–BERSATU di negeri kecil itu dilihat semakin retak, malah berpotensi mencetuskan langkah drastic iaitu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

PAS Perlis, baik di peringkat negeri mahupun pusat dikatakan cukup yakin bahawa BERSATU sebenarnya tidak mempunyai kekuatan akar umbi di Perlis. Lebih sinis, kemenangan BERSATU dalam pilihan raya lalu dilihat bukan hasil kekuatan sendiri sebaliknya bertunjangkan sepenuhnya jentera PAS yang bekerja siang malam di lapangan. Tanpa PAS, BERSATU didakwa sekadar “penumpang” yang menuntut hak seolah-olah pemilik kenderaan. 

Keyakinan PAS ini secara tidak langsung menjelaskan mengapa isu penyerahan kuasa kepada BERSATU dilihat sukar untuk berlaku. Bagi PAS, menyerahkan tampuk kepimpinan negeri kepada parti yang dianggap tiada sokongan sebenar bukan sahaja tidak strategik, malah boleh dilihat sebagai tindakan menggadaikan mandat pengundi yang dimenangi atas titik peluh sendiri. 

Persoalannya kini, adakah Menteri Besar Perlis sanggup mengambil risiko membubarkan DUN semata-mata untuk mengelak tekanan politik dalaman PN? 

Jika benar pembubaran DUN menjadi pilihan, ia bukan lagi soal kestabilan kerajaan negeri tetapi manifestasi kegagalan rundingan dan krisis kepercayaan antara rakan sekutu sendiri.

Lebih memalukan, situasi ini membuka pekung lama PN, parti yang lantang bercakap soal perpaduan tetapi gagal mengurus perebutan kuasa dalam kalangan mereka sendiri. Rakyat Perlis akhirnya berdepan kemungkinan dipaksa ke kancah pilihan raya semula, bukan kerana kehendak rakyat tetapi kerana ego politik dan rasa “aku lebih kuat dari kau”. 

Jika PAS benar-benar yakin sokongan rakyat memihak kepadanya, pembubaran DUN mungkin dilihat sebagai perjudian yang berbaloi. Namun bagi BERSATU, langkah itu berpotensi menjadi pendedahan paling jujur tentang tahap sebenar kekuatan mereka di Perlis sama ada parti pemerintah Perlis yang relevan atau sekadar pelengkap angka dalam Perikatan Nasional Perlis.

Akhirnya, dalam perebutan kuasa ini, siapa sebenarnya yang sedang berkhidmat untuk rakyat dan siapa pula yang hanya sibuk memastikan kerusi kekal di tangan sendiri?

Jika dinilai kenyataan mutakhir Sanusi bahawa PAS telah bersedia menjadi pemimpin negara maka betullah bahawa PAS tidak benarkan BERSATU memimpin Perlis.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)