Hadi Akui Wujud Amalan Rasuah Dalam Kerajaan Perlis?

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan Presiden PAS, Hadi Awang, bahawa Menteri Besar Perlis meletakkan jawatan akibat “tekanan” berkait projek-projek besar yang tidak mengikut peraturan telah mencetuskan satu persoalan besar yang tidak boleh dipandang ringan, adakah ini pengakuan tersirat bahawa wujud amalan rasuah dalam pentadbiran negeri Perlis?


Apabila seorang presiden parti pemerintah sendiri menyebut tentang projek besar yang bermasalah dari sudut pematuhan peraturan, implikasinya amat serius. Dalam bahasa pentadbiran dan undang-undang, projek yang “tidak ikut peraturan” lazimnya berkait rapat dengan salah guna kuasa, pelanggaran tatacara perolehan, campur tangan politik dan akhirnya, unsur rasuah. Kenyataan ini bukan datang daripada pembangkang tetapi daripada pemimpin nombor satu PAS sendiri.

Lebih penting, struktur politik Perlis ketika ini amat jelas. Kerajaan negeri hanya terdiri daripada PAS dan BERSATU. Tidak ada DAP. Tidak ada GERAKAN. Tidak ada UMNO-BN dan tidak ada mana-mana parti lain yang boleh dijadikan kambing hitam. Maka secara logiknya, jika benar wujud tekanan dan projek bermasalah, tanggungjawab politik dan moral itu terletak sepenuhnya di bahu parti-parti yang memerintah iaitu PAS dan BERSATU.

Isu ini menjadi semakin sensitif apabila wujud kes mahkamah melibatkan individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Menteri Besar dalam dakwaan berkaitan penyalahgunaan projek yang mempunyai kaitan dengan institusi Istana Perlis.


Walaupun kes tersebut masih melalui proses perundangan tetapi kewujudannya menambahkan lagi persepsi rakyat Perlis bahawa pentadbiran negeri tidak kebal daripada budaya kronisme dan konflik kepentingan termasuk amalan rasuah yang luar biasa?


Maka naratif “PAS parti paling bersih” masih wujud seperti yang mereka canang di setiap ceramah politik selama ini? Apabila presiden sendiri mengaitkan kejatuhan seorang Menteri Besar dengan tekanan akibat projek yang tidak mengikut peraturan, dakwaan bahawa PAS bebas rasuah tidak lagi boleh dipertahankan secara dogmatik. Ini bukan fitnah media, bukan serangan lawan politik tetapi kenyataan yang lahir daripada kenyataan pemimpin tertinggi parti itu sendiri.

Isu Perlis bukan soal menjatuhkan sesiapa tetapi soal kejujuran politik. Apabila pemimpin tertinggi mengakui kewujudan tekanan akibat projek bermasalah, rakyat berhak bertanya, siapa yang menekan, siapa yang mendapat manfaat dan mengapa perkara ini hanya dibicarakan selepas krisis berlaku?

Selagi soalan-soalan ini tidak dijawab dengan fakta dan tindakan, dakwaan bahawa PAS bersih daripada rasuah akan terus dipersoalkan bukan oleh musuh politik tetapi oleh realiti yang terdedah melalui mulut pemimpinnya sendiri.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)