Hipokrit: Presiden PAS Tuduh Kerajaan Madani ‘Syubhah’

Melaka Digest
By -
0

Presiden PAS terus menjadikan Tulisan Minda Presiden sebagai medan rutin serangan politik terhadap Kerajaan Madani. Edisi terbaharu bertajuk “Kabinet Bercampur Selera” (Siri ke-89, 20 Disember 2025) sekali lagi menyasarkan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.


Kritikan pembangkang adalah sebahagian daripada demokrasi yang sihat. Namun, apabila ia disampaikan dengan analogi cacat, tuduhan tanpa bukti dan kiasan mengelirukan, ia tidak lagi bersifat intelektual sebaliknya mendedahkan kemiskinan idea serta kegagalan hujah.

Tulisan tersebut sarat dengan tuduhan umum tetapi miskin fakta dan contoh konkrit. Ia lebih menyerlahkan kegelisahan politik berbanding kebijaksanaan kepimpinan. Beberapa kelemahan utama wajar diperincikan bagi menzahirkan tahap sebenar kualiti wacana yang dibawa.

Pertama, Presiden PAS mengaitkan Malaysia Madani dengan hukum air mutlak dalam fiqh, kononnya seperti air yang berubah sifat lalu tidak lagi menyucikan, begitulah Malaysia Madani yang didakwa bercampur liberal-sekular hingga “menghilangkan ciri bangsa”.

Analogi ini jelas songsang dan cacat metodologi. Bersuci adalah ibadah mahdhah yang mempunyai dalil qat‘i dan kaedah khusus, manakala politik ialah urusan muamalah yang luas, dinamik dan terikat dengan realiti masyarakat majmuk. Mengheret hukum ibadah ke medan politik kenegaraan bukan sahaja mengelirukan malah menunjukkan kegagalan memahami disiplin ilmu itu sendiri. Lebih buruk, tuduhan “liberal-sekular” dilemparkan tanpa perincian, seolah-olah peluru tabur yang tidak pernah disasarkan. Sejarah telah membuktikan, pimpinan PAS yang terlalu berani membuat tuduhan umum akhirnya berdepan saman fitnah dan terpaksa membayar harga yang mahal.

Kedua, Presiden PAS mendakwa Malaysia Madani dianggap “syubhah” kerana kononnya tidak berselera kepada Melayu-Islam dan bukan Melayu-Islam. Hujah ini bukan sahaja lemah, malah bercanggah dengan realiti. Dalam banyak isu politik, Presiden PAS sering tampil paling pantas memberikan “kepastian hukum”. Namun dalam isu ini, beliau memilih jalan selamat dengan melabelkannya sebagai syubhah. Lebih menghairankan, orang bukan Islam turut dikatakan keliru kerana status hukum, sedangkan dalam agama mereka tidak wujud konsep halal, haram atau syubhah seperti dalam fiqh Islam. Ini menunjukkan hujah yang dibina tidak berpijak pada kefahaman sebenar masyarakat majmuk.

Ketiga, Presiden PAS secara tidak bertanggungjawab mengaitkan Malaysia Madani dengan konsep “agama Abraham” yang pernah dipopularkan oleh Donald Trump. Tuduhan ini dilemparkan tanpa satu pun bukti yang mengaitkan dasar Kerajaan Madani dengan agenda tersebut.

Setelah menimbulkan ketakutan, beliau kemudian menegaskan bahawa Islam tidak memaksa sesiapa memeluk agama dan umat Islam akan kekal istiqamah. Persoalan mudah, di manakah bukti bahawa Kerajaan Madani memaksa orang bukan Islam memeluk Islam atau menghalang umat Islam mengamalkan agama mereka? Tuduhan berat tanpa contoh nyata ini hanya berfungsi sebagai alat menakut-nakutkan rakyat.

Keempat, analogi kuetiau dan kuali yang dibawa oleh Presiden PAS adalah antara ‘dalil’ paling lemah dalam tulisan tersebut. Jika benar terdapat dasar atau tindakan kerajaan yang melanggar prinsip Islam, nyatakan secara terus dan berani.

Politik negara tidak boleh terus-menerus digambarkan dengan perumpamaan kabur yang gagal difahami rakyat. Retorik sebegini mungkin laku di pentas ceramah tetapi tidak layak sebagai wacana kepimpinan nasional.

Kelima, Presiden PAS mengimbau nostalgia Pakatan Rakyat, seolah-olah kerjasama dahulu bersifat suci dan terhad. Hakikatnya, semua gabungan politik termasuk Pakatan Harapan hari ini dibina atas prinsip persetujuan bersama demi kepentingan negara, bukan kesepakatan mutlak dalam semua isu. Masalah sebenar ialah sikap dwistandard PAS iaitu apabila PAS bekerjasama, ia dinamakan tahaluf dan ta’awun; apabila pihak lain melakukan perkara sama, ia dilabel syubhah.

Lebih ironik, PAS kekal bersekutu dengan Parti Gerakan dalam Perikatan Nasional, parti yang pernah mencabar hudud dan menegur PAS agar berhenti mempolitikkan isu UEC tanpa sedikit pun rasa syubhah terhadap kerjasama tersebut.

Lebih memualkan, dalam keghairahan Presiden PAS menghukum “syubhah” terhadap pihak lain, aspek hukum Islam yang jauh lebih jelas sering diabaikan, termasuk soal makan gaji buta dan ponteng kerja termasuk ponteng hadir ke parlimen.

Dalam Islam, menerima upah tanpa menunaikan amanah kerja adalah haram secara jelas, bukan syubhah. Ulama sepakat bahawa gaji adalah imbuhan kepada kerja yang dilakukan. Ponteng kerja dengan sengaja, culas melaksanakan tanggungjawab atau menggunakan jawatan untuk kepentingan peribadi sambil menerima gaji penuh adalah perbuatan khianat dan memakan harta secara batil. Persoalannya, mengapa isu yang jelas haram ini jarang dijadikan medan kemarahan moral oleh PAS, sedangkan isu politik yang bersifat ijtihadi pula dilabel syubhah dengan begitu mudah?

Tulisan Minda Presiden kali ini gagal mengangkat standard perbahasan politik. Ia sarat dengan analogi longgar, tuduhan tanpa bukti dan ketakutan rekaan namun sunyi daripada muhasabah terhadap hipokrasi sendiri.

Jika benar PAS ingin bercakap soal moral, maka keutamaan sepatutnya diberikan kepada keadilan, amanah dan integriti yang jelas hukumnya bukan mencipta syubhah politik untuk menutup kegagalan hujah dan krisis kepercayaan.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)