Selepas hampir lima tahun menerajui Kedah, persoalan asas ini masih gagal dijawab dengan tuntas oleh Menteri Besarnya, adakah beliau benar-benar memahami struktur perlembagaan negara atau sekadar bermain retorik politik untuk menutup kelemahan sendiri?
Hakikat perlembagaan adalah jelas dan tidak pernah kabur. Hal ehwal agama Islam, termasuk penggubalan undang-undang berkaitan agama berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, bukannya kerajaan pusat, selagi mana ia tidak bercanggah atau bertindih dengan undang-undang Persekutuan. Kuasa ini adalah keistimewaan perlembagaan yang diperuntukkan kepada Raja-Raja Melayu dan Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.
Atas sebab itulah, undang-undang Hudud yang dibentangkan oleh PAS di Kelantan dan Terengganu tidak pernah dinamakan sebagai Akta Parlimen, sebaliknya sebagai Enakmen Negeri. Ia bersifat khusus, terhad kepada orang Islam dan tertakluk kepada kelulusan Dewan Undangan Negeri. Ini asas undang-undang yang difahami oleh pelajar tahun pertama undang-undang, apatah lagi seorang Menteri Besar.
Jika benar PAS Kedah dan Menteri Besarnya begitu lantang memperjuangkan undang-undang berasaskan Islam, mengapa Hudud tidak pernah dibentangkan di Kedah?
Mengapa sehingga kini tidak berani dibentangkan di DUN Kedah?
Adakah kerana takut kehilangan sokongan rakan politik sendiri? Atau sekadar menjadikan isu agama sebagai modal ceramah, bukan dasar pemerintahan?
Lebih mengelirukan, apabila kegagalan ini cuba ditutup dengan kenyataan yang mengaburkan perbezaan antara undang-undang pusat dan undang-undang negeri, seolah-olah segala hal agama perlu menunggu kebenaran Putrajaya. Itu bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah mencerminkan sama ada ketidakfahaman serius atau percubaan sedar untuk memutar fakta.
Sanusi sepatutnya faham tentang Undang-undang Persekutuan (Akta) bersifat universal dan terpakai kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum manakala Undang-undang Negeri (Enakmen) bersifat residual, khusus kepada negeri dan bidang kuasa yang diperuntukkan, termasuk hal ehwal Islam.
Seorang Menteri Besar tidak sepatutnya keliru tentang asas ini. Jika keliru, itu kegagalan kompetensi. Jika tahu tetapi tetap mengelirukan rakyat, itu lebih parah kerana ini ianya kegagalan integriti.
Rakyat Kedah berhak mendapat kepimpinan yang jujur, faham undang-undang dan berani bertanggungjawab. Bukan sekadar lantang di pentas ceramah tetapi kosong di meja pentadbiran.
Sanusi tidak perlu malu dengan kelulusan akademiknya tetapi perlu malu apabila berlagak lebih dari apa yang beliau capai dengan sijilnya.
Ketika PAS di dalam kerajaan pusat dahulu pun, PAS tidak berbuat apa-apa.
