Jasmine Loo: Rakan Subahat Jho Low, Persoalan Konflik Kepentingan Hakim 1MDB

Melaka Digest
By -
0

Apakah kes 1MDB terus menjadi lambang terbesar kegagalan tadbir urus dan ujian paling serius terhadap integriti sistem keadilan negara?


Namun di sebalik sabitan dan hukuman berat terhadap Datuk Seri Najib Razak, satu persoalan besar terus berlegar dalam ruang awam, mengapa Jasmine Loo, individu yang diakui mempunyai hubungan rapat dan peranan langsung dengan Low Taek Jho (Jho Low) diposisikan sebagai saksi penting pendakwaan, bukannya tertuduh yang dinilai tanggungjawab jenayahnya secara terbuka di mahkamah. BACA jenayahnya di SINI.

Berdasarkan keterangan mahkamah dan laporan media yang sah, Jasmine Loo bukanlah watak pinggiran. Beliau merupakan peguam korporat utama yang terlibat dalam penyusunan struktur dan transaksi berkaitan 1MDB serta berurusan secara langsung dengan Jho Low, individu yang diiktiraf sebagai dalang utama skandal tersebut. 
 
Dalam prinsip undang-undang jenayah, sesiapa yang membantu, memudahkan atau mendapat manfaat daripada sesuatu kesalahan berpotensi diklasifikasikan sebagai rakan subahat, tertakluk kepada siasatan dan pendakwaan. Justeru, persoalan yang sah dari sudut undang-undang ialah mengapa garis pemisah antara “saksi” dan “rakan subahat” dilihat begitu longgar dalam kes ini.

Isu ini menjadi lebih sensitif apabila perbincangan rakyat turut menyentuh hubungan profesional lampau antara Jasmine Loo dan Hakim Collin Lawrence Sequerah yang membicarakan kes berkaitan 1MDB.

Walaupun tiada dapatan mahkamah setakat ini yang menyatakan wujud salah laku atau konflik kepentingan sebenar, prinsip asas keadilan menuntut lebih daripada sekadar ketiadaan kesalahan. Dalam doktrin undang-undang, keadilan bukan sahaja mesti ditegakkan tetapi mesti dilihat ditegakkan. Persepsi munasabah orang awam terhadap kebebasan dan ketidakberpihakan hakim adalah elemen teras kepada legitimasi sistem kehakiman.

Dalam konteks etika kehakiman dan prinsip ‘natural justice’, sebarang hubungan profesional lampau yang boleh menimbulkan keraguan munasabah sepatutnya ditangani secara telus. Soal ini bukan tuduhan peribadi terhadap mana-mana hakim tetapi perbincangan tentang tadbir urus institusi kehakiman. Sistem yang matang tidak melihat persoalan seperti ini sebagai serangan, sebaliknya sebagai mekanisme semak dan imbang untuk memelihara kepercayaan awam.

Lebih besar daripada individu-individu tertentu, isu sebenar dalam kes 1MDB ialah konsistensi penguatkuasaan undang-undang. Jika penerimaan manfaat kewangan dijadikan asas sabitan terhadap seorang tertuduh, maka ukuran undang-undang yang sama mesti diaplikasikan kepada semua pihak yang berada dalam rantaian peristiwa atau jenayah yang sama.

Lihat apa kata Johari Ghani: 
 

Keadilan yang dilihat selektif, walaupun sah dari sudut teknikal akan sentiasa membuka ruang kepada dakwaan bahawa pendakwaan dijalankan secara terpilih dan bukan berpaksikan prinsip kesamarataan di hadapan undang-undang.

Kes 1MDB sepatutnya menjadi titik kebangkitan ‘rule of law yang tulen’, bukan episod keadilan berpihak atau berpilih. Selagi persoalan tentang peranan sebenar individu seperti Jasmine Loo, justifikasi statusnya sebagai saksi dan isu persepsi konflik kepentingan tidak dijawab secara terbuka dan meyakinkan, selagi itulah naratif keadilan menyeluruh akan terus dipersoalkan. 
 
Rakyat tidak menuntut hukuman rambang tetapi mereka berhak menuntut satu perkara asas iaitu undang-undang yang sama, diterapkan secara konsisten, tanpa mengira nama, kedudukan atau hubungan dengan pusat kuasa. Terhadap Jho Low, Jasmine Loo, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng, Eric Tan Kim Loong. yang masih dalam pelarian.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)