Nama Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low kembali menjadi perbualan hangat rakyat Malaysia susulan keputusan mahkamah dalam kes 1MDB. Seperti dijangka, tuntutan awam agar beliau dikesan, dibawa pulang sebagai suspek utama dan dihadapkan ke muka pengadilan kembali bergema.
Namun realitinya, isu kehilangan Jho Low bukan soal kelemahan risikan atau kegagalan pihak berkuasa tempatan semata-mata, sebaliknya melibatkan lapisan politik, diplomatik dan keselamatan antarabangsa yang jauh lebih kompleks?
Hakikat yang jarang dibicarakan secara terbuka ialah individu seperti Jho Low tidak bergerak sendirian. Dalam banyak kes antarabangsa, pelarian kewangan berskala besar hanya mampu bertahan jika ada perlindungan negara atau kuasa tertentu.
Perlindungan ini lazimnya hadir dalam bentuk identiti baharu, jaringan keselamatan tertutup serta halangan undang-undang yang menjadikan proses ekstradisi hampir mustahil. Situasi ini bukan luar biasa dalam dunia perisikan dan geopolitik global.
Laporan terbaharu oleh dua wartawan penyiasat terkenal, Bradley Hope dan Tom Wright melalui siri Finding Jho Low mendedahkan dakwaan bahawa Jho Low kini menetap di Shanghai. Menurut mereka, beliau didakwa tinggal di kawasan elit dikenali sebagai Green Hills dan bergerak bebas di China menggunakan identiti palsu.
Lebih mengejutkan, Jho Low dikatakan memegang pasport Australia palsu atas nama Constantinos Achilles Veis, identiti rekaan berlatarbelakangkan Greek, kononnya seorang pakar strategi belakang tabir berkait dengan kepentingan tertentu kerajaan China.
Hope dan Wright bukan nama asing dalam pendedahan skandal 1MDB. Kredibiliti mereka dibina melalui penyiasatan mendalam yang pernah menggegarkan institusi kewangan dan politik antarabangsa. Dalam laporan terkini ini, mereka mendakwa mempunyai sumber yang mengesahkan kehadiran Jho Low di China walaupun Beijing secara rasmi menafikan sebarang penglibatan atau pengetahuan tentang keberadaan individu tersebut.
Jho Low merupakan perancang dan suspek utama skandal 1MDB yang melibatkan penyelewengan berbilion dolar dana awam dan kini dikehendaki oleh kerajaan Malaysia serta disenaraikan dalam Notis Merah Interpol. Namun, status “dikehendaki” di atas kertas tidak semestinya membawa makna praktikal jika individu tersebut berada di bawah perlindungan kuasa besar. Menjadi persoalan, notis tersebut sudah tidak ‘merah’ lagi, kenapa?
Sejauh mana keberkesanan kerjasama penguatkuasaan undang-undang rentas negara dan sejauh mana komitmen sebenar negara-negara besar dalam membantu Malaysia menegakkan keadilan?
Jika benar wujud perlindungan senyap terhadap Jho Low, maka membawa beliau pulang untuk dibicarakan bukan lagi isu teknikal tetapi isu kedaulatan dan keberanian diplomatik. Seperti yang sering disebut oleh bekas Ketua Polis Negara suatu ketika dahulu, Jho Low bukan sekadar “hilang”, tetapi telah “bertukar menjadi beruang” sebenarnya penulis baru faham bahawa itu membawa makna ‘individu yang terlalu besar dan berbahaya untuk disentuh’.
Malah, analogi yang lebih tepat mungkin bukan beruang, tetapi panda spesies yang jarang, bernilai tinggi dan dilindungi dengan penuh teliti oleh penjaganya. Dalam konteks ini, operasi menangkap dan membawa keluar seseorang seperti Jho Low bukan sekadar sukar, malah hampir mustahil tanpa persetujuan penuh pihak yang melindunginya. Dalam dunia sebenar, “menculik” keluar jauh lebih rumit daripada sekadar “memadamkan” kewujudan kerana terlalu ramai yang berkepentingan untuk memastikan beliau terus selamat.
Persoalan akhirnya bukan sekadar di mana Jho Low berada tetapi sama ada pada tahap ini beliau dan rakan-rakan sepenjenayahnya masih diperlukan atau sengaja dibiarkan bebas kerana terlalu banyak rahsia yang jika dibuka boleh menggoncang lebih daripada satu kerajaan. Inilah realiti pahit yang perlu dihadapi dalam usaha menuntut keadilan sebenar bagi skandal 1MDB.
