Isu calon Ketua Menteri Melaka kini membuka lembaran baharu dalam politik Perikatan Nasional negeri itu. Nama Bakri Jamaluddin mungkin sedang diuji di lapangan, namun persoalannya tetap sama, adakah ini keputusan strategik atau sekadar percubaan menggoyah struktur sedia ada?
Sebuah video tular di akaun TikTok 'Melakau Update' mencetuskan tanda tanya baharu dalam politik Melaka. Nama Ahli Parlimen Tangga Batu, disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri Melaka bagi Perikatan Nasional (PN). Kehadirannya dalam sebuah majlis berkaitan pengenalan benih baharu kelapa sawit oleh sebuah syarikat pertanian swasta dilihat sebagai langkah awal untuk memperagakan profil beliau di pentas negeri.
Namun, perkembangan ini menimbulkan persoalan besar dalam kalangan penyokong PN sendiri, mengapa bukan Mas Ermieyatie?
Secara asasnya, logik politik PN Melaka meletakkan Datuk Mas Ermieyatie Samsudin, Ahli Parlimen Masjid Tanah serta Pengerusi PN Melaka sebagai calon paling layak. Beliau mempunyai pengalaman sebagai bekas Timbalan Menteri, selain sering digambarkan sebagai sosok yang mendapat kepercayaan penuh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jika PN mahu tampil dengan wajah kepimpinan yang kukuh dan berwibawa, Mas Ermieyatie sepatutnya berada di barisan paling hadapan. Namun, perkhabaran yang membawa nama Bakri seolah-olah memberi gambaran wujudnya percaturan baharu dalam blok PN negeri.
Ada berpendapat, Mas Ermieyati tidak menonjol ketika menjadi Timbalan Menteri sehingga mengabaikan kawasannya sendiri dan dilabelkan sebagai ‘kaki claim’?
Selain Mas Ermieyatie, nama Ahli Parlimen Jasin, Hj Zulkifli, sebelum ini turut dikaitkan sebagai calon Ketua Menteri. Tetapi, reputasinya yang dibayangi kontroversi “ustaz qunut nazilah” dikatakan mengekang peluang beliau untuk diangkat sebagai pilihan utama PN Melaka.
Ini sekaligus membuka ruang kepada kemunculan individu lain termasuk Bakri yang dilihat cuba membawa imej baharu meskipun kelayakan dan kekuatan politiknya masih dipertikai.
Melihat perkembangan mutakhir dalam PAS, muncul naratif bahawa parti itu sedang menyaksikan peralihan pengaruh daripada slogan Kepimpinan Ulama kepada kelompok yang lebih bersifat pragmatik atau “liberal”.
Contoh ketara dapat dilihat melalui iailah Sanusi (Kedah), Mohd Shukri (Perlis) dan Ahmad Samsuri (Terengganu).
Dalam senarai tersebut, hanya Kelantan masih diterajui seorang Menteri Besar bertaraf ustaz, itupun dengan persoalan berterusan mengenai latar akademiknya.
Perubahan trend ini menimbulkan persoalan, adakah PAS kini sudah beranjak daripada prinsip tradisinya bahawa kepimpinan mesti dipandu golongan ulama?
Walaupun penyokong Bakri Jamaluddin mendakwa beliau mampu berbahasa Inggeris dengan baik, keupayaan intelektual dan wawasan ekonominya tetap menjadi bahan perdebatan.
Sebagai contoh, idea beliau menjadikan industri solar sebagai industri utama negeri dipersoalkan kerana sektor itu lebih berskala lokal dan tidak mempunyai impak global seperti industri kelapa sawit yang menjadi nadi ekonomi negara.
Tambahan pula, dari sudut kelayakan akademik, Bakri hanya memegang Diploma Pertanian, jauh berbeza jika dibandingkan dengan profil Mas Ermieyatie yang memiliki latar pendidikan lebih kukuh dan pengalaman sebagai bekas Timbalan Menteri.

