Protes Jalan Kaki Chegu Bard: Timbalan Ketua Bahagian Masjid Tanah Tunjuk Sokongan Terbuka

Melaka Digest
By -
0

Tindakan Timbalan Ketua Bahagian PPBM Masjid Tanah, Nazri Ramli, menunggu dan menyambut ketibaan Chegu Bard di sempadan negeri Melaka menimbulkan pelbagai pertanyaan dan perhatian dalam kalangan pemerhati politik tempatan. Protes jalan kaki yang dilakukan Chegu Bard dari Port Dickson ke Johor Bahru bertujuan menzahirkan penentangan beliau terhadap dakwaan penyelewengan dan pengkhianatan dalam parti sendiri serta menyeru ahli PPBM seluruh negara agar menuntut integriti dan keadilan dalam parti.


Langkah Nazri Ramli menzahirkan sokongan secara terbuka dianggap mengejutkan kerana beliau selama ini dikenali sebagai penyokong kuat Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, seiring dengan Ketua Bahagian Masjid Tanah, Mas Ermieyati.

ketika sokong Muhyiddin

Ramai pemerhati berpendapat tindakan Nazri seolah mendapat restu daripada Mas Ermieyati yang sebelum ini dilihat bersikap tidak konsisten, kadang-kala menyokong Muhyiddin dan pada masa lain turut terlibat dalam ‘kumpulan penanda tangan’ seramai 16 orang yang pro Hamzah Zainuddin yang mendesak agar parti menarik balik hukuman terhadap beberapa Ketua Bahagian, termasuk Wan Saiful Wan Jan dan Mohd Azrudin Md Idris, Ketua Bahagian PPBM Hang Tuah Jaya.


Sokongan terbuka Nazri terhadap protes Chegu Bard menimbulkan persepsi bahawa perpecahan dalaman PPBM semakin nyata. Chegu Bard yang juga Ketua Bahagian PPBM Port Dickson, mendakwa beliau dipinggirkan, dihina dan difitnah oleh kelompok yang mengelilingi Presiden parti kerana lantang menuntut parti kembali menumpukan perhatian kepada isu rakyat. Baca di SINI.



Aduan beliau mengenai gangguan dalaman dan campur tangan pihak tertentu bukan sahaja diabaikan malah dibakul sampahkan. Ironinya, tindakan disiplin terhadap beliau turut dijalankan, yang disifatkan sebagai cubaan membungkam suara yang menuntut integriti.


“Presiden lemah mengabaikan, maka saya lancarkan jalan kaki solo menuju Mahkamah Johor Bahru,” tegas Chegu Bard.

Protes yang berlangsung selama tiga hari ini bukan sekadar aksi simbolik. Ia dirancang sebagai rantaian pendedahan bersiri yang akan berlaku di setiap hentian sepanjang perjalanan bertujuan mendesak parti mengambil tindakan terhadap isu dalaman serta mengembalikan fokus kepada perjuangan untuk rakyat.

Langkah ini mencerminkan ketegangan dan cabaran kepimpinan dalam PPBM, serta menimbulkan persoalan serius mengenai kesetiaan, integriti, dan keberanian ahli parti dalam menegakkan prinsip perjuangan sebenar. 
 
Bagaimana mereka ingin mentadbir negeri dan negara jika antara mereka 'menikam belakang' antara satu sama lain?
 
 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)