Ketua Bahagian BERSATU Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard, sekali lagi mencuri perhatian apabila mengumumkan protes paling berani dalam kerjaya politiknya iaitu dengan berjalan kaki seorang diri dari Port Dickson ke Johor Bahru sebagai tanda melawan apa yang didakwanya sebagai penyelewengan dan pengkhianatan dalam partinya sendiri.
Beliau mendakwa dipinggirkan, dihina dan difitnah oleh kelompok yang mengelilingi Presiden BERSATU hanya kerana lantang mendesak parti agar kembali memperjuangkan isu rakyat. Lebih mengecewakan, aduan beliau tentang gangguan dalaman dan campur tangan pihak tertentu bukan sahaja tidak diendahkan, malah dibakul sampahkan begitu sahaja. Ironinya, selepas memberi penjelasan, beliau pula dipanggil ke lembaga disiplin dan itu merupakan satu tindakan yang disifatkan beliau sebagai cubaan membungkam suara yang menuntut integriti.
“Presiden lemah mengabaikan, maka saya lancarkan jalan kaki solo menuju Mahkamah Johor Bahru,” tegasnya.
Protes tiga hari ini bukan sekadar aksi simbolik tetapi rantaian pendedahan bersiri yang dijadualkan berlaku di setiap hentian sepanjang perjalanan:
8 Disember — Hari Pertama
Bermula di Quest Hotel Midport Port Dickson menuju Masjid Sultan Muhammad V, Penjara Sungai Udang. Chegu Bard dijangka mendedahkan episod awal penyelewengan dalaman termasuk sikap kepimpinan parti yang didakwanya “membiarkan rakyat menjadi mangsa ketidakcekapan”.
9 Disember — Hari Kedua
Di Melaka dan Muar, beliau merancang untuk memperincikan dakwaan berkaitan penyelewengan dana parti serta projek K-KOM yang dikaitkan dengan individu-individu tertentu dalam BERSATU.
10 Disember — Hari Ketiga
Kemasukan dana pilihan raya Sabah bakal dijadikan fokus utama. Menurut Chegu Bard, isu ini antara punca perpecahan dalaman dan wujud tangan-tangan ghaib yang menguruskan dana tanpa ketelusan. Perjalanan dijangka tamat di Surau Parit Andin, Johor.
Live, Podcast & Bukti Lapangan
Sepanjang perjalanan, beliau akan menyiarkan sesi siaran langsung dan podcast untuk berkongsi maklumat secara terus kepada rakyat. Langkah ini menurutnya penting agar segala pendedahan tidak boleh diputarbelit atau ditenggelamkan mana-mana pihak.
Bagi Chegu Bard, jalan kaki ini ialah tuntutan maruah, bukan sahaja maruah dirinya tetapi maruah perjuangan parti yang menurutnya telah diseleweng oleh mereka yang lebih mementingkan kuasa daripada rakyat.
Beliau menegaskan bahawa perjuangannya ini adalah usaha mengembalikan semangat asal BERSATU iaitu membela rakyat, menentang ketirisan dan memulihkan politik yang semakin kehilangan kepercayaan umum.
Protes ini sekali lagi mengingatkan negara bahawa dalam setiap parti politik, suara dalaman yang berani melawan arus mampu menjadi lonjakan kesedaran rakyat. Sama ada pendedahan Chegu Bard ini akan menggoncang BERSATU atau sekadar menjadi episod badai sementara, esok bakal menentukan gelombangnya.
Satu perkara pasti, semua mata kini tertumpu kepada langkah pertama Chegu Bard bermula 8 Disember esok.
