‘Lembu Betina’: PAS Melaka Akur?

Melaka Digest
By -
0

Kontroversi yang tercetus daripada kenyataan Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Muhammad Salman Al Farisi yang menyamakan wanita dalam kepimpinan sebagai “lembu betina” terus menjadi tanda tanya besar terhadap konsistensi moral dan politik parti itu.


Lebih mengejutkan, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak ditarik balik, malah turut dipertahankan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man. Reaksi itu memberi gambaran bahawa kepimpinan tertinggi PAS sendiri tidak melihat isu penghinaan terhadap wanita sebagai sesuatu yang perlu diperbetulkan.

Namun realiti politik semasa memperlihatkan satu ironi yang sukar diabaikan. Akhirnya dalam mesyuarat terbaharu(mesyuarat pertama) Perikatan Nasional (PN) Melaka, Mas Ermieyati Samsudin ‘disahkan’ sebagai Pengerusi PN Melaka yang secara langsung mencerminkan penerimaan PAS terhadap kepimpinan wanita, walaupun sebelum ini pemimpin mereka mengeluarkan kenyataan yang bersifat merendahkan wanita.

Pelantikan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan. Mereka menjangkakan satu kejutan dalam mesyuarat pertama kepimpinan PN negeri tersebut, namun perubahan yang diramal tidak berlaku. Sebaliknya, pelantikan Mas Ermieyati dianggap sebagai keputusan ‘mengikut arus’ dan bukannya satu pembaharuan strategik.


Beberapa pihak turut mempersoalkan kemampuan Mas Ermieyati, terutama selepas prestasi longgar jentera PN di Sabah dalam pilihan raya negeri baru-baru ini. Beliau dilihat gagal menyusun gerak kerja Wanita PN Sabah secara berkesan, khususnya dari aspek mobilisasi, logistik, serta keupayaan kewangan untuk menggerakkan jentera parti. Kelemahan-kelemahan ini menjadi asas kebimbangan terhadap keupayaan beliau memimpin PN Melaka dalam situasi politik yang semakin mencabar.



Terdapat suara-suara yang mencadangkan agar kepimpinan PN Melaka diserahkan kepada Ahli Parlimen Jasin yang dianggap lebih berpengaruh dan mempunyai imej lebih ‘alim’ dalam kalangan penyokong PAS. “Masa masih ada, tukarlah kepada ahli parlimen Jasin yang lebih alim,” demikian ungkapan yang sering kedengaran.


Kontradiksi antara retorik PAS mengenai wanita dan tindakan politik mereka dalam gabungan PN Melaka kini menjadi cerminan ketidaktentuan pendirian parti itu. Sama ada PAS benar-benar akur dengan kepimpinan wanita atau sekadar tunduk kepada realiti politik, persoalan itu terus menghantui penyokong dan pemerhati politik tanah air.
 

 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)