Perkembangan mutakhir Perikatan Nasional (PN) menimbulkan persoalan besar mengenai hala tuju politik gabungan itu, termasuk di Melaka. Slogan baharu yang kelihatan, “PN Mesti Menang”, bukan sahaja mencetus tanda tanya, malah menimbulkan keraguan sama ada ia benar-benar berorientasikan rakyat atau sekadar obsesi merebut kuasa selepas kekalahan memalukan di Sabah.
Kekalahan terburuk PN di Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini dengan hanya 1 kerusi dimenangi daripada 41 kerusi ditandingi, menjadikan naratif “mesti menang” seolah-olah lahir daripada tekanan politik dalaman. Lebih memburukkan keadaan, 36 calon PN dilaporkan hilang deposit, mencerminkan penolakan jelas pengundi terhadap tawaran politik mereka. Dalam konteks itu, slogan di Melaka kelihatan seperti usaha memulihkan imej, bukan menguatkan dasar.
Adakah Mas Ermieyati tidak berani menggunakan slogan “Kasi Bagus Melaka” seperti yang PN gunakan di Sabah, “Kasi Bagus Sabah”?
Namun yang lebih ketara, slogan tersebut langsung tidak menggambarkan keutamaan terhadap rakyat. Tiada aspirasi, tiada hala tuju, tiada visi pembangunan. Hanya janji kosong untuk menang, seolah-olah kemenangan itu sendiri adalah matlamat mutlak, bukan platform untuk membawa manfaat kepada masyarakat Melaka.
Ini menimbulkan persoalan kritikal, adakah PN mahu mengambil alih kuasa terlebih dahulu, kemudian barulah memikirkan agenda untuk rakyat? Atau sebenarnya, PN sendiri gagal menawarkan model pemerintahan yang meyakinkan, memandangkan negeri-negeri yang mereka kuasai tidak mencerminkan prestasi yang boleh dijadikan contoh kepada Melaka?
Jika dilihat secara perbandingan ekonomi, Melaka jauh lebih kukuh berbanding negeri-negeri di bawah pentadbiran PN seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Dari sudut saiz ekonomi, Melaka lebih besar dan lebih dinamik; dari sudut struktur ekonomi, ia lebih moden dengan sektor perdagangan, perindustrian dan perkhidmatan yang berkembang; dari sudut kesejahteraan rakyat pula, pendapatan isi rumah Melaka lebih tinggi berbanding negeri-negeri PN yang kekal tertinggal.
Maka timbul juga tanda tanya, ke arah manakah Melaka akan dibawa sekiranya PN menang? Adakah Melaka akan dijadikan ‘carbon copy’ negeri-negeri yang masih bergelut dengan isu kemiskinan, pembangunan terbantut dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan?
Paling nampak apa yang berlaku di negeri pentadbiran mereka hanyalah pertambahan bilangan ‘ceramah’ berbanding peningkatan hidup rakyat sendiri.
Akhirnya, slogan “PN Mesti Menang” tidak menjawab apa-apa, sebaliknya membuka lebih banyak persoalan tentang keutamaan gabungan itu.
Rakyat Melaka wajar bertanya, apakah sebenarnya yang PN mahukan daripada Melaka? Kerana setakat ini, yang jelas bukan agenda untuk rakyat tetapi sekadar perebutan untuk berada di tampuk kuasa.
Akhirnya, slogan “PN Mesti Menang” tidak menjawab apa-apa, sebaliknya membuka lebih banyak persoalan tentang keutamaan gabungan itu.
Rakyat Melaka wajar bertanya, apakah sebenarnya yang PN mahukan daripada Melaka? Kerana setakat ini, yang jelas bukan agenda untuk rakyat tetapi sekadar perebutan untuk berada di tampuk kuasa.

