Insiden penjenayah ditembak mati di Melaka baru-baru ini mencetuskan reaksi kuat dalam kalangan Masyarakat dengan suara rakyat menuntut tindakan tegas bukan sahaja terhadap penjenayah tetapi juga siasatan terhadap ahli keluarga yang disyaki menerima atau menikmati hasil aktiviti jenayah tersebut.
Ramai melihat tragedi ini sebagai gambaran jelas bagaimana “penjenayah tidak pernah mengikut undang-undang atau menghormati SOP, sedangkan pihak polis setiap kali terpaksa berhadapan dengan risiko besar sambil mematuhi prosedur yang ketat”.
Justeru, sokongan rakyat terhadap PDRM dalam mengambil tindakan tegas semakin lantang, selari dengan sentimen umum bahawa penjenayah mesti dihapuskan demi keselamatan negara tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang.
Walau bagaimanapun, dalam ketegasan suara rakyat ini, muncul pula pihak yang cuba memanipulasi insiden tersebut untuk kepentingan tertentu. Pemutaran naratif dan usaha mengalihkan perhatian daripada isu keselamatan awam telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, terutama apabila tragedi ini mula dijadikan alat politik dan nampak jelas berkepentingan ‘poket’ masing-masing?
Bagi rakyat, tindakan sedemikian bukan sahaja mengaburkan fakta, malah boleh melemahkan usaha pihak berkuasa untuk memastikan siasatan berjalan dengan adil dan telus. Apa yang penting kini ialah mempertahankan fokus terhadap ancaman jenayah, bukan membuka ruang kepada agenda sempit yang meminggirkan kepentingan keselamatan rakyat.
Di media sosial, suara netizen turut mempengaruhi perbincangan umum. Ramai menuntut agar siasatan kewangan dijalankan terhadap keluarga penjenayah, termasuk cadangan membekukan akaun, menyemak aliran kewangan dan menyita aset bagi memastikan tiada elemen subahat atau penerimaan hasil aktiviti jenayah.
Sentimen seperti “sita semua harta”, “bekukan akaun keluarga” dan “yang backup penjenayah patut ditangkap” menggambarkan tahap kemarahan awam terhadap budaya jenayah yang dipercayai berakar daripada rangkaian yang lebih luas.
Ada juga gesaan supaya mana-mana pihak yang cuba mengganggu atau mendahului siasatan polis turut diteliti peranan mereka bagi memastikan integriti proses penyiasatan tidak tercemar.
Namun, di sebalik semua desakan dan tuntutan, terdapat satu garis prinsip yang tidak boleh diketepikan iaitu ketegasan mesti disandarkan kepada keadilan. Kepercayaan masyarakat terhadap polis dan institusi penguatkuasaan bergantung kepada ketelusan, integriti dan proses undang-undang yang adil.
Tindakan keras terhadap penjenayah adalah perlu tetapi ia mesti dipacu oleh bukti, prosedur sah dan prinsip hak asasi manusia. Hanya dengan keseimbangan ini, keselamatan negara dapat dijamin tanpa mengorbankan nilai keadilan.
Akhirnya, tragedi ini menjadi peringatan penting kepada semua pihak bahawa keselamatan rakyat tidak boleh dikompromi. Penjenayah wajib ditangani dengan tegas tetapi sebarang cubaan mempolitikkan insiden ini hanya akan menenggelamkan kebenaran dan menjejaskan usaha menegakkan keadilan.
Apa yang rakyat mahukan hari ini ialah tindakan berfakta, siasatan menyeluruh dan keputusan yang benar-benar berpihak kepada keselamatan serta kepentingan negara.


