Menyerang Najib: Strategi DAP Untuk Apa Sebenarnya

Melaka Digest
By -
0

Gelombang provokasi politik yang digerakkan DAP kebelakangan ini, khususnya berkaitan kes dan isu “Titah Addendum” melibatkan Datuk Seri Najib Razak wajar dibaca dari sudut strategi kuasa yang lebih besar bukan sekadar luahan emosi atau keterujaan politik sempit. Persoalannya bukan sama ada DAP sedar implikasi tindakan mereka tetapi mengapa tindakan itu dilakukan secara terbuka, berulang dan kelihatan disengajakan.


Sejak kebelakangan ini, beberapa pemimpin DAP secara terang-terangan memuat naik hantaran di media sosial yang meraikan keputusan mahkamah berkaitan Najib. Tindakan itu bukan berlaku sekali tetapi berantai dan konsisten, sekali gus mencetuskan kemarahan akar umbi UMNO. Keadaan ini menjadi semakin panas apabila tokoh seperti Tony Pua tampil dengan ulasan sinis yang disifatkan ramai sebagai biadab dan menyimbah minyak ke atas api ketegangan sedia ada.

Sukar untuk mempercayai bahawa pimpinan DAP tidak memahami sensitiviti isu ini. Mereka cukup berpengalaman untuk mengetahui bahawa Najib bukan sekadar seorang individu tetapi simbol emosi dan maruah politik bagi sebahagian besar ahli serta penyokong UMNO. Justeru, apabila pola tindakan yang sama berulang, ia memberi isyarat jelas bahawa ini adalah langkah strategik yang telah diperhitungkan kos dan manfaatnya.


DAP dilihat bersedia menanggung kos ketegangan politik jangka pendek kerana keuntungan strategik yang lebih besar menanti di hadapan. Tekanan terbuka terhadap Perdana Menteri, termasuk ugutan keluar dari Kerajaan Perpaduan jika isu seperti pengiktirafan UEC tidak dipenuhi, serta desakan Lim Guan Eng supaya kerajaan mengkaji beberapa tuntutan yang banyak menjurus kepada kepentingan ekonomi kaum Cina, memperlihatkan hala tuju politik yang semakin tegas dan berani.


Perkembangan ini juga perlu dilihat dalam konteks sokongan kaum Cina yang didakwa merosot terhadap DAP dalam beberapa pilihan raya kecil dan negeri sebelum ini. Justeru, pendekatan konfrontasi dan lantang dilihat sebagai usaha untuk kembali “on track” menampilkan DAP sebagai parti yang paling agresif mempertahankan agenda dan kepentingan penyokong teras mereka.

Persoalan besar timbul, adakah DAP benar-benar sanggup keluar dari Kerajaan Perpaduan dan kembali menjadi pembangkang selepas berdekad-dekad berjuang untuk berada di puncak kuasa? Atau adakah strategi sebenar mereka ialah memaksa UMNO yang keluar, sekali gus membersihkan halangan terbesar dalam kerajaan terhadap agenda-agenda tertentu?

Hakikat politiknya jelas. Jika DAP keluar, Kerajaan Perpaduan masih boleh bertahan, namun dengan majoriti yang tipis. Namun jika PAN turut mengikut jejak langkah DAP, kerajaan berisiko kehilangan majoriti. DAP juga sedar bahawa pilihan untuk PMX bekerjasama dengan PN bukan jalan mudah. Pakatan dengan PN berpotensi melemahkan kedudukan Perdana Menteri sendiri, memandangkan kekuatan kerusi PN dan risiko tuntutan kuasa yang lebih besar.

Dalam keadaan ini, tekanan ke atas PMX menjadi asimetri. Dari sudut kelangsungan jawatan, lebih “mudah diurus” jika UMNO yang terpaksa berundur berbanding DAP. Jika UMNO keluar, kerajaan masih boleh berdiri manakala DAP dengan sekitar 40 kerusi Parlimen bakal muncul sebagai kuasa paling dominan, malah boleh dianggap ‘raja’ dalam kerajaan.

Dengan tempoh hampir dua tahun sebelum PRU16, DAP mempunyai ruang yang luas untuk mempengaruhi dasar, polisi dan pendekatan tadbir urus negara. Agenda seperti pembaharuan bandar, pilihan raya PBT, projek berkaitan Kampung Baru Cina atau pelbagai inisiatif lain yang sebelum ini berdepan tentangan UMNO, berpotensi dilaksanakan dengan lebih lancar tanpa kehadiran parti itu dalam kerajaan.

Akhirnya, UMNO berada dalam dilema paling getir. Jika keluar daripada Kerajaan Perpaduan, mereka mungkin memuaskan hati akar umbi dan berpeluang memulihkan sokongan Melayu atas pagar, namun terpaksa melepaskan akses kepada kuasa. Jika kekal, UMNO berisiko terus dilihat lemah, tunduk kepada tekanan DAP dan gagal mempertahankan maruah politik sendiri termasuk isu melibatkan bekas presidennya.

Dalam kedua-dua pilihan, UMNO adalah pihak yang menanggung kos politik paling besar. Sementara itu, DAP kelihatan semakin selesa mengatur langkah dan Perdana Menteri pula berada di tengah-tengah tekanan sekutu yang semakin berani menguji had kesabarannya. Soalnya kini bukan lagi siapa yang betul atau salah tetapi siapa yang paling bijak membaca permainan kuasa sebelum harga yang dibayar menjadi terlalu mahal.

Timbul juga persoalan, adakah Najib juga jadi bahan taruhan?
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)