Naratif “Salah Faham” Kenyataan Hadi Awang Hanyalah Alasan: PAS Perlis Akan Buat ‘U-Turn’?

Melaka Digest
By -
0

Cubaan terbaharu pemimpin PAS untuk “menjernihkan salah faham” berhubung krisis politik Perlis hakikatnya bukan penjelasan tetapi satu usaha terancang untuk menutup kesilapan kenyataan Presiden PAS itu sendiri dan keputusan tergesa-gesa menggugurkan keahlian tiga ADUN PAS Perlis.


Naratif bahawa kenyataan Presiden PAS kononnya langsung tidak merujuk kepada tiga bekas ADUN adalah satu alasan yang tidak jujur. Dalam politik, implikasi lebih penting daripada literal. Apabila Presiden menyebut tekanan berkaitan projek dan krisis kepimpinan yang membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar, adalah mustahil untuk memisahkan isu itu daripada tindakan lapan ADUN yang menandatangani SD termasuk tiga ADUN PAS. Menafikan kaitan ini hanya memperlihatkan usaha mengasingkan sebab daripada akibat demi menyelamatkan maruah Presiden dan parti PAS itu sendiri.

Alasan bahawa kesalahan tiga ADUN tersebut hanyalah kerana melanggar Fasal 15A iaitu tandatangan SD bercanggah dengan pendirian parti juga rapuh. Jika benar mereka tidak dipengaruhi habuan dunia, tidak terlibat dalam tekanan projek dan sekadar “naif” akibat terpengaruh dengan strategi politik dan maklumat yang sampai kepada mereka, maka hukuman paling keras dalam parti terus dikenakan tanpa siasatan menyeluruh yang telus. Ini bukan soal disiplin semata-mata, tetapi soal keadilan dalaman.


Lebih mengelirukan, PAS sendiri mengakui bahawa ketiga-tiga ADUN itu adalah pejuang lama PAS, berintegriti dan tidak didorong kepentingan peribadi. Pengakuan ini secara automatik meruntuhkan justifikasi moral pemecatan mereka. Dalam mana-mana organisasi politik yang matang, kesetiaan, rekod perjuangan dan niat baik seharusnya menjadi faktor meringankan, bukannya diabaikan demi keputusan pantas yang kini terbukti memakan diri.


Hujah bahawa “dalam jemaah ada disiplin dan saluran” tidak menjawab persoalan utama, mengapa kepimpinan gagal mengurus perbezaan pandangan sehingga membawa kepada krisis terbuka?

Disiplin bukan alasan untuk menutup kegagalan komunikasi dan kepimpinan strategik. Apabila wakil rakyat bertindak di luar kerangka parti, ia sering mencerminkan masalah di peringkat atas, bukan semata-mata keingkaran di peringkat bawah.

Ungkapan klise “every action has consequences” juga tidak boleh digunakan secara selektif. Ya, tindakan tiga ADUN itu ada akibatnya. Tetapi tindakan kepimpinan menggugurkan keahlian mereka secara drastik juga mempunyai akibat politik yang lebih besar iaitu melemahkan kerajaan negeri, mencetuskan persepsi ketidakadilan dan memaksa parti kini mencari jalan belakang untuk memperbetulkan keadaan.

Paling ketara, cadangan agar tiga bekas ADUN “kembali mengisi borang PAS” adalah pengakuan tersirat bahawa keputusan asal adalah silap. Jika mereka benar-benar pengkhianat disiplin parti yang serius, mengapa pintu dibuka semula?

Cadangan ini bukan penyelesaian bermaruah tetapi cubaan menyelamatkan keadaan setelah menyedari bahawa penyingkiran mereka telah mencetuskan krisis yang lebih besar daripada jangkaan.

Semua naratif “salah faham”, “naif” dan “disiplin jemaah” hanyalah alasan pasca-fakta untuk mewajarkan 'pusingan U' yang sedang disiapkan. Isu sebenar bukan tiga ADUN tersebut tetapi kegagalan kepimpinan PAS Perlis dan pusat membaca realiti politik negeri sendiri. Dalam politik, kesilapan boleh dimaafkan tetapi menutup kesilapan dengan alasan yang bercanggah hanya akan menghakis kepercayaan ahli dan rakyat.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)