Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor, menyatakan keyakinan penuh bahawa PAS berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) seterusnya memimpin negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Kenyataan tegas itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa PAS bukan sekadar pemain sokongan dalam gabungan, sebaliknya mahu muncul sebagai teras kepimpinan nasional.
Sanusi berkata demikian sebagai respons kepada gesaan Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah, yang mencadangkan agar PN mengetengahkan barisan kepimpinan berwibawa khususnya dalam pengurusan ekonomi, sekiranya PRU16 diadakan selepas Parlimen genap tiga tahun. Bagi PAS, cabaran tersebut bukan sesuatu yang asing atau di luar kemampuan parti.
Menurut Sanusi, PAS memiliki sumber manusia yang luas termasuk teknokrat, profesional dan pakar dalam pelbagai bidang yang bukan sahaja menjadi ahli, malah penyokong setia parti. Golongan inilah katanya yang boleh diketengahkan sebagai calon pemimpin di peringkat negeri dan nasional. Dari sudut kekuatan jentera parti dan sokongan akar umbi, PAS disifatkan beliau sebagai parti paling tersusun dan bersedia di negara ini.
“PAS bukan sahaja bersedia untuk memimpin PN, malah negara ini sendiri memerlukan kepimpinan PAS,” katanya, satu kenyataan yang jelas mencerminkan keyakinan tinggi parti itu terhadap keupayaan sendiri.
Mengulas persoalan sama ada kepimpinan PN yang berkeupayaan mengurus ekonomi perlu datang secara eksklusif daripada PAS, Sanusi mengambil pendekatan lebih terbuka. Beliau menegaskan bahawa perkara paling utama ialah kepakaran dan kelayakan individu, bukannya label parti semata-mata. Pendekatan ini dilihat sebagai cubaan PAS menampilkan imej lebih inklusif dalam kerangka gabungan.
“Yang penting ialah individu tersebut benar-benar ahli dalam bidangnya dan memiliki kemahiran yang wajar. Jangan gunakan formula sendiri tanpa peduli pandangan mereka yang benar-benar pakar,” tegas beliau.
Kenyataan ini bukan sekadar jawapan kepada gesaan dalaman PN tetapi juga mesej awal PAS kepada rakyat bahawa parti itu mahu dilihat sebagai pilihan serius untuk kepimpinan negara. Sama ada keyakinan tersebut mampu diterjemahkan kepada sokongan pengundi menjelang PRU16, ia bakal menjadi ujian sebenar terhadap dakwaan kesiapsiagaan dan keupayaan PAS yang kini dilaungkan secara terbuka.
Ironinya, PAS nak jadikan negeri mana sebagai model untuk memerintah Malaysia?
Jika faktor ‘sumber manusia’ yang hebat, kenapa di Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah sendiri tidak pernah menunjukkan prestasi yang terbaik sedangkan jika digabungkan sumber manusia dan ‘sumber alam’ di keempat negeri tersebut maka kesemuanya akan menjadi negeri contoh kepada negeri yang lain.
Teringat kisah bagaimana jentera Kelantan terkejut apabila tiba di Kota Kinabalu untuk bertugas di pilihanraya DUN negeri Sabah, baca di SINI.
Kita tunggu apa kata Muhyiddin.
